No. Perdaftaran Kenderaan: "Nampak Cantik", 138 Disaman Di Jitra

Anggota polis mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan dalam Ops Roda di KM 30.3 Lebuhraya Utara- Selatan, Plaza Tol Jitra hari ini.
- Foto BERNAMA
JITRA – Sebanyak 257 saman dikeluarkan termasuk 138 atas kesalahan nombor pendataran tidak mengikut spesifikasi, dalam Ops Roda di KM 30.3 Lebuhraya Utara-Selatan, Plaza Tol Jitra di sini hari ini.

Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Lebuh Raya Bukit Aman DSP Mustafa Bakri Salleh berkata kesalahan nombor pendaftaran itu amat kerap berlaku di kalangan pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Nombor pendaftaran direka dalam pelbagai bentuk, katanya.

“Kita juga turut saman pemilik kenderaan yang guna nombor pendaftaran yang salah.

“Kononnya menggunakan nombor pendaftaran tersebut kelihatan cantik seperti kereta mewah atau motosikal berkuasa tinggi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata antara alasan yang sering digunakan pemilik motosikal itu adalah nombor pendaftaran dibekalkan oleh kedai motosikal, mengikut trend semasa atau tidak tahu mengenai kesalahan itu.

Katanya, selain itu pengguna motosikal berkuasa tinggi ingkar dengan menggunakan lesen motosikal B2 (bagi motosikal 250cc ke bawah) untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi lebih daripada 500cc.

Mustafa berkata operasi bermula kira-kira pukul 10 pagi dan berakhir pukul 2 petang itu disertai enam pegawai dan 19 anggota dari Bukit Aman dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Katanya turut terlibat adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata kesalahan lain yang dikesan ialah berkaitan lesen memandu/tamat tempoh, cermin sisi, tidak pamer pelekat ‘L’, dan lampu brek. – BERNAMA