Ops Bersih: Pasangan Suami Isteri Dicekup Sekali Lagi Di Kuala Muda

SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri berusia lingkungan 38 tahun adalah antara 57 penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Operasi Bersih 2015 AADK Kedah yang dilaksanakan selama tiga hari berakhir hari ini di sekitar daerah Kuala Muda.
 
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Malaysia Zainuddin Abdullah berkata pasangan suami isteri terbabit merupakan bekas penagih dan pernah dijatuhi hukuman oleh mahkamah pada tahun 2009.

"Mereka bagaimanapun sekali lagi ditahan dalam operasi kali ini, yang mana kedua-duanya berada dalam keadaan mencurigakan dan setelah ujian air kencing dilakukan, mereka didapati positif mengambil dadah.

"Apa yang menyedihkan mereka turut membawa bersama dua anak perempuan masing-masing berusia enam dan lapan tahun sewaktu melakukan aktiviti tidak sihat itu," katanya pada sidang media di AADK Kuala Muda, di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, menerusi operasi itu, AADK menahan 57 penagih termasuk 53 lelaki dan empat perempuan berusia lingkungan 17 hingga 61 tahun, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati seorang daripadanya mempunyai waran tangkap mengikut Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Pemeriksaan dan ujian air kencing yang dijalankan menunjukkan sebahagian daripada individu yang ditahan didapati positif dadah dan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Sementara itu, Zainuddin berkata Operasi Bersih 2015 merupakan operasi besar-besaran yang diadakan di seluruh negara secara berjadual, melibatkan 110 kawasan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, berisiko dan umum berdasarkan indikator seperti bilangan Orang Kena Pengawasan (OKP), kadar jenayah setempat, bilangan aduan awam yang diterima dan bilangan penagih dadah baharu yang dikenal pasti melalui risikan dan pemantauan.

"Kami mulakan operasi di daerah Kuala Muda, Kedah, satu daripada daerah yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, selain empat lagi daerah iaitu Kota Setar, Baling dan Kulim.

"Tumpuan operasi di Taman Ria Jaya, Taman Ria, Flat Paya Nahu dan Kota Kuala Muda, dan seramai 125 anggota dan pegawai AADK negeri dan kebangsaan serta pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyertai operasi ini," katanya.

Zainuddin berkata, operasi terbabit antara lain bertujuan mengambil tindakan terhadap OKP yang melanggar syarat pengawasan dan pihaknya mendapati sehingga 31 Mac lalu, kira-kira 10.12 peratus atau 500 daripada 4,939 OKP di negeri ini gagal mematuhi syarat pengawasan.

"Di Kuala Muda sendiri, 10.14 peratus atau 105 daripada 1,035 OKP didapati melanggar syarat pengawasan.

"AADK akan turut mengesan penagih dadah yang masih belum mengikuti rawatan dan pemulihan secara sukarela di fasiliti yang telah disediakan, justeru AADK memohon kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam usaha membanteras najis dadah di negara ini dan membantu bekas penagih agar dapat kembali berfungsi dalam masyarakat," katanya. - Bernama