Pekerja premis menandatangani surat kompaun sambil diperhatikan anggota KPDNKK dan kastam. |
ALOR SETAR - Gara-gara gagal mempamerkan tanda harga pada produk dijual
di premis mereka, sebuah pasar raya di Shahab Perdana, dekat sini,
dikenakan kompaun dalam Ops GST, semalam.
Dalam operasi berkenaan, dua pekerja premis memberi alasan, namun ia
tidak dapat diterima anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta kakitangan Kastam.
"Mereka memberi alasan telah menurunkan tanda harga lama pada beberapa
produk yang didapati dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai
1 April.
"Malah mereka juga mendakwa sudah menulis tanda harga baharu produk
terlibat, namun belum sempat pamerkan pada barangan berkaitan," katanya.
Bagaimanapun, alasan diberikan tidak diterima pakai anggota penguat
kuasa memandangkan ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta
Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
Pegawai Penguatkuasa KPDNKK, Muhamad Nasri Hassan berkata, sesetengah
barangan dalam premis berkenaan didapati tidak meletakkan tanda harga
melalui pemeriksaan dilakukan mereka.
“Sewajarnya, tanda harga lama produk terlibat GST boleh dibiarkan
begitu sahaja dan tidak perlu dibuang. Dalam masa sama, tanda nama baru
diletakkan berdekatan harga lama,” katanya.
Oleh demikian katanya, pihak mereka terpaksa mengambil tindakan dengan
mengenakan kompaun ke atas premis yang melakukan kesalahan sedemikian.
Difahamkan, operasi akan berterusan sepanjang 15 hari bermula semalam
bagi memantau keadaan premis perniagaan yang mengenakan GST pada
barangan dan perkhidmatan mereka.
Sementara itu, pengarah KPDNKK Kedah, Mohd Fitri Hassan berkata,
kira-kira 19 premis diperiksa dalam Ops GST bersama Jabatan Kastam
Diraja Malaysia.
Menurutnya, empat pasukan terlibat dalam operasi berkenaan iaitu dua
pasukan melakukan pemeriksaan di Alor Setar, manakala dua di Sungai
Petani.
“Daripada 19 premis, tujuh daripadanya adalah peruncit, diikuti enam
pasar mini, empat pasar raya, satu pemborong dan satu kilang.
"Satu notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 dan satu kes diperoleh dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. -Sinar Harian