Qari Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan dan qariah Siti Husna Hassan dari Pahang dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan malam tadi - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Qari Wan Ainuddin Hilmi, dari Kelantan dan qariah Siti
Husnaa Hassan, dari Pahang malam tadi dinobat johan Tilawah Al-Quran
Peringkat Kebangsaan ke-58.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000,
sebuah Proton Preve, piala pusingan serta pakej menunaikan fardhu Haji,
cenderamata dan sijil penyertaan.
Hadiah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada
peserta qari manakala isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor
menyampaikan hadiah kepada peserta qariah di majlis yang berlangsung di
Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
Wan Ainuddin, 32, yang memperdengarkan bacaan surah As-Sabaa bermula
ayat 36 memperoleh markah 88.35 peratus manakala Siti Husnaa, 23 (ayat
34, surah An-Nisa’) pula memperoleh 85.01 peratus.
Johan-johan itu akan mewakili negara dalam Tilawah Al-Quran Peringkat
Antarabangsa yang bakal berlangsung pada 9 hingga 14 Jun depan di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sementara itu, qari Abdul Khair Jalil dari Selangor muncul naib johan
dengan markah 87.67 peratus manakala qari Azraei Abdul Hak dari Melaka
di tempat ketiga dengan markah 87.02 peratus.
Bagi kategori qariah, peserta Sarawak, Roziah Ayup muncul naib johan
dengan memperoleh markah 84.34 peratus manakala qariah Selangor, Nur
Ruzana Natiah Jaafar tempat ketiga dengan 82.35 peratus.
Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM20,000 dan RM15,000 selain RM4,500 kepada penerima saguhati.
Johan keseluruhan pula diraih peserta dari Pahang yang mendapat
markah sebanyak 85.51 peratus. Markah johan ini merupakan markah purata
peserta qari dan qariah sesebuah negeri.
Majlis tilawah selama enam hari bermula Isnin lepas itu bertemakan
‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’, menghimpunkan 28 peserta
merangkumi 14 qari dan 14 qariah dari setiap negeri.
Terdahulu, Othman dalam ucapan penutup mengajak masyarakat di negara
ini kembali memahami dan menghayati konsep perpaduan serta kesatuan
sebagai resepi utama mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Katanya, nilai-nilai perpaduan adalah wajar dihayati sepenuhnya demi kelangsungan serta kejayaan negara.
“Kita juga perlu menghayati konsep Wasatiyyah agar menjadi umat yang
saling bertolak ansur, hormat menghormati dan menjadi umat contoh,”
katanya. – BERNAMA