PUTRAJAYA – Harga pakej jalur lebar asas yang ditawarkan beberapa
syarikat telekomunikasi akan mengalami pengurangan antara 11 dan 57
peratus tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata komitmen itu melibatkan syarikat telekomunikasi Celcom, DiGi, U Mobile, Maxis, Telekom Malaysia (TM) dan TIME.
“Lebih ramai rakyat di Malaysia akan dapat menikmati kemudahan jalur
lebar dengan harga lebih murah,” katanya dalam sidang media bagi
mengumumkan perkara itu di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata pelanggan akan menikmati pengurangan kos
berkenaan dalam tempoh antara sebulan dan dua bulan mulai sekarang
memandangkan syarikat terbabit perlu menyelaraskan sistem mereka dan TM
memerlukan lebih masa bagi menyelesaikan beberapa proses berkaitan.
Menurut beliau pakej mudah alih ditawarkan pada harga RM25 bagi
langganan bulanan sebanyak 1GB dan sekurang-kurangnya 3G HSPA untuk
kedua-dua perkhidmatan prabayar dan pasca bayar.
“Pengurangan ini dianggarkan 14 peratus lebih rendah secara purata daripada harga semasa,” katanya.
Bagi perkhidmatan tetap, TM menawarkan pakej jalur lebar asas pada
harga RM38 sebulan untuk 1Mbps penggunaan data percuma sehingga 1GB,
iaitu 57 peratus lebih rendah daripada harga semasa iaitu RM88 untuk
pakej asas.
Ahmad Shabery bagaimanapun mengingatkan syarikat telekomunikasi agar
menjaga kualiti perkhidmatan yang diberikan seiring dengan penurunan
harga jalur lebar itu.
“Kita mahu mereka melihat semula pelaburan yang mereka lakukan untuk
tingkatkan keupayaan mereka, apa guna murah kalau perkhidmatan yang
diberikan tidak bagus,” katanya.
Beliau juga berharap agar modal perbelanjaan yang diperuntukkan untuk
pembangunan infrastruktur termasuk proses ‘fiberization’ diteruskan dan
mengikut tanda aras nisbah pelaburan global iaitu sebanyak 16 peratus
daripada modal perbelanjaan mereka.
Beliau berkata kos jalur lebar di negara ini merupakan antara yang
paling kompetitif dalam kalangan negara ASEAN kecuali Singapura dan
Brunei.
“Kita tidak boleh membandingkan dengan Singapura kerana negara mereka
kecil dan tidak perlu memasang kabel bawah laut seperti di Sabah dan
Sarawak, namun apa yang kita mahu adalah untuk memastikan kita sentiasa
di hadapan berbanding negara serantau,” katanya. – BERNAMA