Papa Rock Ramli Sarip Dilantik Duta Bahasa Melayu Singapura 2015

Legenda Papa Rock, Ramli Sarip
SINGAPURA – Legenda Papa Rock Singapura, Ramli Sarip, diangkat sebagai salah seorang Duta Bahasa Melayu republik tersebut bagi kempen sepanjang Bulan Bahasa 2015 pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Masagos Zulkifli, yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). Duta-duta baharu yang lain belum diumumkan.

Bercakap pada sidang media, beliau berkata Ramli dipilih bukan sahaja kerana taraf penyanyi popular, tetapi beliau seniman yang menggunakan seni kata yang baik dalam lagu-lagu beliau.

Ramli, 62 tahun, ialah bekas ahli band popular Sweet Charity. Sebelum ini, artis tempatan lain seperti Imran Ajmain dan Zaibaktian juga pernah diangkat sebagai Duta Bahasa Melayu.

Bagi kempen Bulan Bahasa tahun ini, perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu sepanjang 50 tahun lalu akan diraikan sempena sambutan jubli emas kemerdekaan Singapura.

Ia juga sebahagian daripada usaha berterusan MBMS untuk melestarikan bahasa Melayu, sejajar dengan tarafnya sebagai Bangsa Kebangsaan Singapura selain Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Masagos Zulkifli pada sidang media pelancaran Bulan Bahasa Melayu sempena sambutan jubli emas 50 tahun kemerdekaan Singapura. – Gambar hiasan
Buat julung kalinya, sempena SG50, sebuah buku kenangan memaparkan sumbangan perintis Melayu dan perkembangan bahasa Melayu di Singapura akan dilancarkan.

Pada sidang media Jumaat, Masagos yang juga Menteri Kedua Hal Ehwal Luar merangkap Dalam Negeri turut melancarkan logo rasmi Majlis Bahasa sempena sambutan SG50.

Menampilkan motif batik, ia diolah daripada logo asal SG50, dan akan digunakan dalam semua acara yang dianjurkan MBMS sepanjang jubli emas Singapura tahun ini.

Kawasan-kawasan perumahan awam tempat kegiatan Bulan Bahasa akan diadakan oleh MBMS ialah Tampines, Nee Soon, Jurong dan Choa Chu Kang.

Perasmian Bulan Bahasa di Gardens by the Bay pada 5 September itu, sebuah buku serta pameran yang menyusuri perkembangan bahasa dan kesusteraan Melayu akan dilancarkan.

Gambar hiasan
Buku kenangan itu yang kini dalam proses suntingan dan akan mengandungi rencana yang disumbangkan oleh 20 penulis terbaik merangkumi pelbagai bidang.

Timbalan Pengerusi 1, MBMS, Profesor Hadijah Rahmat berkata, ini pertama kali dokumentasi tentang sejarah perkembangan bahasa Melayu di Singapura dikumpulkan secara menyeluruh.

Dua versi, iaitu format buku mewah atau ‘coffee table‘ yang berkonsepkan buku bergambar, dan satu lagi buku versi elektronik akan ditawarkan kepada masyarakat.

Sempena SG50, MBMS turut mengumumkan penghargaan khas sumbangan dan usaha guru perintis dalam melestarikan bahasa dan budaya Melayu menerusi Anugerah Guru Arif Budiman.

Malah, buat pertama kali Singapura turut dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) ke-21 dan Seminar Sastera pada September nanti. - Agensi