PAS Kedah Dakwa Kerajaan Negeri Kedah Nafi Hak Pelajar Sekolah Agama

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah kesal dengan tindakan kerajaan negeri menangguhkan program dan aktiviti yang melibatkan sekolah agama di negeri ini tanpa penjelasan yang meyakinkan.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, arahan penangguhan itu berkuatkuasa serta-merta dan mengejutkan pihak sekolah yang menerima maklumat itu.

“Sebahagian guru dan penggerak pendidikan Islam, dari sekolah menengah agama, sekolah rendah agama, kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dan taska yang bernaung di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bingung kerana alasan yang diberikan merujuk kepada perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya inginkan penjelasan apakah situasi yang terlalu mendesak sehinggakan aktiviti melibatkan pendidikan Islam ditangguhkan oleh kerajaan negeri.

“Pihak kami mendapat makluman bahawa kerajaan negeri kini sedang berdepan dengan krisis kewangan dan tidak mampu menjana wang sebaiknya sehingga mengorbankan aktiviti pendidikan Islam,” katanya.

Mohd Nasir berkata, persoalan ini perlu diperjelaskan oleh JHEAIK dan kerajaan negeri memandangkan sebelum ini, kerajaan negeri mampu melaksanakan program mega seperti Kedah Berselawat dan menanam pokok kurma di Seri Mentaloon.

Berikutan itu, pihaknya mempersoalkan adakah kesemua peruntukan sudah habis digunakan atau kerajaan negeri menafikan hak pelajar dan guru sekolah agama untuk menikmati peruntukan bagi menjalankan program tahunan sekolah.

“Alangkah elok sekiranya peruntukan sebanyak itu digunakan untuk mengimarahkan sistem pendidikan Islam dari peringkat taska hingga ke peringkat tertinggi, misalnya bagi program di Kolej Universiti Insaniah (Kuin),” katanya. - Sinar Harian