KUANTAN – PAS Pahang membuat persiapan awal dengan menubuhkan jentera
parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.
Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata agenda
berkaitan PRK Rompin antara intipati yang dibincangkan pada mesyuarat
parti itu Isnin lepas.
“PAS Pahang juga membuat tinjauan awal terhadap calon yang sesuai
untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti,” katanya kepada
Bernama di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon itu kerana
beranggapan masih awal untuk berbuat demikian selain mahu menunggu
pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai PRK Rompin.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri
Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada
Sabtu lepas.
Selain Jamaluddin, turut terkorban lima mangsa lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.
Tuan Ibrahim berkata PAS Pahang juga merakamkan ucapan takziah kepada
keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter itu.
Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin dipilih sebagai Anggota
Parlimen Rompin bagi penggal keenam setelah mengalahkan calon PAS
Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. – BERNAMA