EKSKLUSIF: PAS Permatang Pauh Buat "Pusingan U": Undi Parti Tolak Hudud Tidak Lagi "Haram"?

PERMATANG PAUH - Suasana tegang mengakhiri sidang media yang diadakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, apabila beliau diajukan persoalan mengenai permasalahan antara PAS Kawasan Permatang Pauh dengan PKR yang dikatakan telah "selesai" sebentar tadi.

Mohamad dalam kenyataannya memberitahu media bahawa masalah yang berlaku itu telah selesai dan beliau enggan mengulas lanjut mengenainya, konon bimbang akan di "spin" pihak media.

Bagaimanapun, keengganan beliau menjawab soalan susulan dari media itu telah menimbulkan ketegangan apabila seorang dari penyokong PAS tiba-tiba menengking media.

"Tak dak soalan lain kaaa..?!" tengking penyokong tersebut sehingga menyebabkan ramai media yang menunggu jawapan dari Timbalan Presiden PAS itu merasa tersinggung.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sebentar tadi mendakwa kemelut "boikot" yang dilakukan PAS Permatang Pauh terhadap PKR telah beliau "selesaikan", namun tidak menjelaskan tentang bagaimanakah cara masalah berkenaan diselesaikan.

"Dah selesai.. semua dah selesai," kata Timbalan Presiden PAS itu.

Timbul persoalan di kalangan wakil media tentang penyelesaian yang dimaksudkan Mat Sabu itu ekoran pendirian PAS Permatang Pauh sebelum ini yang enggan berkompromi berkenaan isu hudud dan mendesak PKR untuk meminta maaf pada parti mereka.

Yang DiPertuanya, Omar Hassan sebelum ini menegaskan bahawa sekiranya PKR berhajat mahukan sokongan serta undi dari mereka pada PRK kali ini, parti itu mesti menunaikan desakan mereka dengan segera.

Malah dalam satu kenyataan, Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman yang meletakkan hukum haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud dan kenyataannya dikatakan telah mendapat sokongan padu dari Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ekoran soalan "tidak dijawab" itu, timbul persoalan sama ada PAS Permatang Pauh kini berubah "fatwa" menerima PKR yang menolak perlaksanaan hudud secara konsisten bersama DAP dan "menghalalkan" undi mereka kepada PKR.

Timbul juga persoalan tentang apakah Mat Sabu menjelaskan tentang desas-desus sebelum ini yang mengatakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah akan membuat "pusingan U" menyokong enakmen hudud bersempena PRK Permatang Pauh untuk sementara dan kembali menolak hudud selepas menang sebagai ahli parlimen di sini. -Kedahnews.com