KUALA LUMPUR – PAS mengakui telah memohon supaya Rang Undang-Undang
Persendirian berkaitan hudud didahulukan dalam Aturan Urusan Mesyuarat
persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu telah
diusulkan kepada Speaker dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan kini
sedang menunggu keputusan dari pihak Pandikar.
“Ya, kita (PAS) ada minta usul persendirian didahulukan. Kita tunggu
keputusan Speaker untuk kemukakan di Parlimen,” katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kesanggupan PAS mengorbankan persahabatan dengan PKR
dan DAP dengan meneruskan niat membentangkan rang undang-undang itu di
Parlimen, Abdul Hadi berkata perkara itu merupakan hak kerajaan negeri
Kelantan memandangkan banyak perkara dilakukan rakan sekutu itu tanpa
pengetahuan PAS.
“Dalam perjalanan kita di Pakatan Rakyat, ada banyak perkara yang
dilakukan oleh DAP dan PKR tanpa diberitahu kepada PAS. Tidak perlu
terkejut kerana perkara itu sudah lama dan berkait dengan orang Islam
saja,” kata anggota Parlimen Marang itu.
Abdul Hadi telah mengemukakan notis bagi usul tersebut dibentangkan
di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas yang akan membolehkan beliau
membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di
Kelantan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac.
Abdul Hadi berkata pihaknya bersedia menerima sebarang reaksi daripada semua pihak mengenai rancangan melaksana hudud itu. - BERNAMA