Pasar Tani: Kerajaan Tidak Kompromi Peniaga Ambil Kesempatan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan di Pasar Tani Kekal Tepoh selepas merasmikan pasar tani tersebut hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA NERUS – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap peniaga pasar tani yang mengambil kesempatan menaikkan harga 73 produk barangan yang ditetapkan antara lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding di tempat lain.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di setiap gerai pasar tani ada disediakkan talian hot-line di mana orang ramai boleh mengadu terus kepada pejabat Fama atau pegawai Fama yang bertugas di pasar tani.

“Kita tidak akan berkompromi dari segi harga di mana setiap pasar tani kita ada sediakan satu papan tanda yang menunjukkan 73 jenis barang dengan harga yang telah ditetapkan.

“Jika ada peniaga yang ingkar dengan menjual barang tidak mengikut harga yang ditetapkan, maka kita akan keluarkan mereka dari berniaga di pasar tani,” katanya selepas merasmikan Pasar Tani Tepoh di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri Nawi Mohamad.

Ismail Sabri berkata kerajaan memerlukan peniaga yang berkualiti dan bukannya peniaga yang ramai tetapi tidak berkualiti.

Katanya ketika ini pasar tani begitu popular di mana terdapat kira-kira 500 buah pasar tani di seluruh negara dan akan mewujudkan 1,000 lagi pasar tani menjelang tahun 2020.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM34 juta untuk mewujudkan 17 buah pasar tani kekal di seluruh negara tahun ini.

Katanya peniaga di pasar tani perlu ada perubahan di mana ia tidak perlu lagi dibuat di kawasan lapang kerana ia tidak begitu sesuai jika negara ingin menjadi sebuah negara maju pada 2020.

Sehubungan dengan itu katanya perbincangan telah bermula untuk membina pasar tani yang lebih standard yang dikenali pasar tani kekal yang akan diwujudkan bangunan yang berbumbung di tempat yang lebih strategik.

“Kita mahu membantu peniaga yang rata-rata bumiputera supaya mereka dapat kita tingkatkan dari segi pasaran agar perniagaan mereka meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Pasar Tani Tepoh merupakan tapak pasar lama yang tidak beroperasi sejak 30 tahun lalu akan dijadikan pasar tani kekal dan merupakan yang pertama di negeri ini. – BERNAMA