PasMa Akan Perjelas Segalanya 26 April Ini

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan bertindak mengadakan satu konvensyen pertama yang julung-julung kali diadakan pada 26 April di Auditorium Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor.

Penubuhan PasMa yang diketuai Presiden, Datuk Phahrolrazi Zawawi mencetuskan pelbagai krisis sehingga kepimpinan PAS Pusat mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan ahlinya menyertai badan bukan kerajaan (NGO) terbabit.

Pengerusi PasMa Selangor, Ahmad Idzam Ahmad menegaskan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi terhadap rasional penubuhan NGO tersebut pada konvensyen nanti.

Ahmad Idzam menyifatkan segala pertuduhan mengenai PasMa akan diperjelaskan secara terperinci kerana penubuhan terbabit dilakukan hanya untuk membantu Pakatan Rakyat.

“Kita dengar macam-macam perkara negatif yang orang buat mengenai PasMa, jadi kita nak betulkan salah anggap itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan, konvensyen yang bakal diadakan nanti turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib.

Terdahulu, Phahrolrazi dalam satu kenyataan menegaskan PasMa berkemungkinan menjadi sebuah parti politik persendirian menyokong Pakatan Rakyat sekiranya PAS bertindak keluar daripada kerjasama di antara PKR dan DAP. - Kedahnews.com/Mohd Shahir Shukor