PasMa "Cekik" Presiden, Pemimpin, Ulama - Dewan Ulama PAS

Kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) diibaratkan seperti semut gatal yang mengganggu hubungan antara ahli-ahli Pas.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, hubungan ahli Pasma dengan Pas kini umpama bergaduh dengan kawan atau adik-beradik sendiri sahaja.

“Pasma ini dia macam semut gatal, kecil saja tapi dia ketit (gigit) gatal, ketit sana-sini. Jenis macam ini kita kena sembur ubat nya­muk,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Pas Kawasan Jerlun di Markas Pas Ayer Hitam di sini hari ini.

Mengulas lanjut tentang perkara itu dalam sidang akhbar, Mohd. Khairuddin berkata, Pasma seperti semut gatal kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengganggu semua pihak di dalam Pas.

“Pasma ini dia cekik semua orang, dia cekik Presiden, pimpinan dan juga ulama,” jelasnya.

Tambah beliau, mereka yang menyokong Pasma diminta agar segera bertaubat dan kembali kepada Pas untuk menguatkan semula parti itu.

“Kita kata mudah saja balik pada kaedah Islam, kaedah asal, taubat saja dan kita tak suruh dia keluar Pas. Balik kepada kita untuk perkuatkan parti dan jangan jadi semut gatal,” ujarnya.

Mohd. Khairuddin berkata, Pas juga telah menghantar wakilnya untuk berbincang dan mendengar pandangan daripada Pasma, namun parti itu menghormati hak demokrasi Pasma.

“Kita nasihatkan ahli jangan terlibat dengan Pasma, kita tak benci dia (Pasma), dia buat salah kita tegur terpulang pada mereka nak dengar nasihat atau tidak.

“Kita juga tidak pernah kata haramkan Pasma, jika dia nak buat parti baharu terpulang dan apabila dah wujud parti tersebut, mohonlah nak masuk pakatan pembangkang tapi Pas tidak akan keluar daripada pakatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hukum hudud merupakan satu perkara yang akan tetap dilaksanakan oleh Pas walaupun rakan sekutunya di dalam pakatan pembangkang menentang perkara itu.

“Lama dah kita cerita pasal hudud ini, dah berkurun. Kalau DAP dan PKR tak setuju tak payah sokong pun tak apa, yang penting kita sudah bawa ke Parlimen,” jelasnya. -Utusan