PUTRAJAYA – Individu yang telah membuat laporan mengenai kehilangan
atau kecurian Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) mulai 1 Januari 2010
dilarang menggunakan dokumen itu jika dijumpai semula.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim,
dalam satu kenyataan hari ini, berkata larangan itu untuk mengelakkan
sebarang kesulitan di pintu masuk antarabangsa.
“Ini kerana PMA yang pernah direkodkan hilang akan kekal dalam rekod
Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan dianggap tidak lagi sah serta tidak
akan dibenarkan melalui sempadan/pintu masuk antarabangsa dengan
menggunakan dokumen itu,” katanya.
Alwi berkata, bagi mengelakkan sebarang kesukaran dan implikasi
negatif kepada kes-kes sebegini, KDN menyeru agar warga Malaysia
mengambil perhatian serius peringatan itu.
“Langkah yang diambil ini adalah bertujuan memastikan kredibiliti dan
integriti PMA tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Alwi berkata, warga negara Malaysia boleh memohon PMA baharu daripada
Jabatan Imigresen Malaysia dengan mengemukakan salinan laporan polis
dan yang berkaitan sebagai bukti kehilangan atau kecurian PMA terdahulu.
Mulai 1 Februari tahun ini, KDN dilaporkan mewajibkan individu yang
kehilangan PMA sama ada di dalam negara atau luar negara membuat laporan
di balai polis berdekatan. – BERNAMA