KUALA LUMPUR - Lebih 60 peratus pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disediakan kemudahan tempat tinggal.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1, sehingga kini,
sebanyak 63,963 (69.6 peratus) unit kuarters disediakan kepada anggota
terbabit dalam usaha mempertingkatkan kebajikan mereka.
Menurut laporan berkenaan daripada jumlah itu kuarters untuk Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman/Kontinjen (46,589), Pasukan Gerakan Am
(11,939), Pusat Latihan (2,517), Pasukan Simpanan Persekutuan (1,682),
Pengkalan Marin PDRM 1,179 dan Pengkalan Udara PDRM (57).
Bagaimanapun laporan itu berpendapat masih terdapat beberapa perkara
perlu diambil perhatian antaranya peruntukan khas tidak disediakan PDRM
bagi penyenggaraan kuarters setiap tahun.
Peruntukan kewangan berkaitan penyenggaraan kuarters adalah terlalu
rendahkerana hanya kurang 9.2 peratus dibelanjakan berbanding
keseluruhan di bawah Penyenggaraan Dan Pembaikan Kecil Yang Dibeli (kod
OS28000).
"Justeru, PDRM disyorkan mengkaji semula keperluan peruntukan kewangan
berkaitan perkara itu," menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan
Rakyat di sini hari ini.
Dalam maklum balas Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 19 Januari lepas
menyedari bahawa peruntukan belanja mengurus bagi amat kecil, namun
mulai tahun ini peruntukan pembangunan sebanyak RM100 juta yang
disediakan diharap dapat dimanfaatkan untuk perbelanjaan menyenggara.
Laporan turut mendedahkan terdapatnya pemalsuan dan penipuan terhadap
dokumen pembayaran dalam pengurusan perolehan perabot bagi cadangan
pembangunan semula Kem Batalion 5, Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam,
Johor.
Perkara itu disebabkan terdapatnya kawalan dalaman yang sangat lemah
sehingga menyebabkan berlakunya pemalsuan dokumen sokongan dalam
pembayaran dan 'improper payment'.
"Sehubungan itu, pihak KDN dan PDRM perlu menubuhkan Jawatankuasa
Siasatan bagi menyiasat perkara berkenaan," menurut laporan itu.
KDN turut disyorkan mengenakan tindakan tatatertib atau surcaj terhadap
mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan perolehan tersebut.
Sementara itu, maklum balas yang diperoleh daripada KDN, hasil siasatan
awal mendapati terdapatnya kelemahan dalam perancangan menyebabkan
perolehan dilaksanakan walaupun perabot belum boleh digunakan kerana
bangunan dijangka siap pada Mac 2015. - Bernama