PDRM Kedah Terus Pantau Madrasah, Tazkirah

ALOR SETAR - Polis Kedah berterusan memantau aktiviti madrasah, sekolah agama, masjid termasuk tazkirah yang dikhuatiri menyeleweng dengan menyebar fahaman kumpulan militan IS.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, hasil pemantauan yang dilakukan sejak tiga bulan lalu, setakat ini, belum ada madrasah dikesan terlibat secara langsung dalam penyebaran fahaman ekstremisme dan militan.

“Walaupun sebelum ini dua rakyat Kedah terkorban di Syria, siasatan mendapati penglibatan mereka di negara bergolak itu atas urusan peribadi dan bukan anjuran mana-mana pihak, namun kita tetap pantau elemen-elemen berkaitan,” katanya, pada sidang media, selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan.

Zamri berkata, polis Kedah bakal menganjurkan jerayawara dan ceramah tentang bahaya gerakan militan IS dalam usaha membendung penyebarannya di negeri ini, terutama bagi mengekang fahaman itu mempengaruhi golongan muda.

“Ini antara usaha kita mengekang penularan fahaman IS dalam kalangan golongan muda agar tidak mudah terjebak, selain jalin kerjasama dengan kerajaan negeri menganjurkan program kesedaran melalui sesi ceramah dan siri jelajah ke setiap daerah, bermula di Kota Setar,” katanya.

Menurutnya, program ini akan menampilkan tokoh agama dan penceramah diiktiraf untuk memperjelas tentang penyelewengan IS.

“Kita masih berbincang dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan program ini. Diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat selain menyampaikan maklumat yang tepat. Saya harap siri ceramah ini dapat dimulakan awal Mei ini, di seluruh Kedah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamri berkata, kadar indeks jenayah di Kedah menurun sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, iaitu penurunan sebanyak 16 peratus.
“Penyumbang terbesar peningkatan peratusan kes jenayah di Kedah adalah kes kecurian motosikal serta pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, antara kawasan panas ialah daerah Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim, namun polis sentiasa memantau keadaan untuk menangani masalah itu.

“Kita turut lakukan beberapa penambahbaikan dalam memperkukuhkan anggota di Kedah, termasuk menganjurkan program kemasyarakatan untuk lebih dekat dengan rakyat. Bagaimana pun wujud kekangan seperti kekurangan anggota untuk memfokus kawasan-kawasan tertentu,” katanya.

Zamri berkata, biar pun tumpuan diberi kepada kawasan panas, namun pihaknya akan cuba memenuhi nisbah anggota polis dengan penduduk, mengikut piawaian 1:400, setakat yang mampu.

“Sebagai contoh, daerah Kota Setar nisbah terkini 1:500. Secara keseluruhannya, anggota masih perlu ditambah, namun bergantung kepada pengambilan anggota yang diuruskan bahagian pengambilan di ibu negara,” katanya.

Menurutnya, secara anggaran Kedah memerlukan tambahan 20 peratus lagi anggota daripada jumlah anggota sedia ada, 5,300 pegawai yang bertugas di daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Untuk mengatasi masalah kekurangan anggota, kita jalin kerjasama dengan agensi berkaitan dalam melakukan rondaan, antaranya pasukan Rela dan polis bantuan. Usaha lain termasuk Program Community Policing bersama penduduk setempat,” katanya. -Sinar Harian