Pecahkan Lampu Isyarat, Pengawal Keselamatan Dipenjara Sebulan

KUALA LUMPUR - Gara-gara memecahkan cermin lampu isyarat dengan kayu beroti di sini minggu lepas, seorang pengawal keselamatan menerima padah apabila dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, di sini ini.
 
Selain itu, Nordin Huddin, 32, juga dikenakan hukuman penjara 14 hari bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan semasa ditangkap di lokasi kejadian di persimpangan Jalan 1/77A, Jalan Imbi di sini.
 
Nordin mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat itu pada pukul 10.30 malam, 17 April lepas.
 
Majistret Nur Azura Murah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu serentak mulai tarikh tangkapan pada hari kejadian.
 
Atas pertuduhan pertama melakukan khianat, Nordin didakwa mengikut Seksyen 434 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
 
Bagai pertuduhan kedua, dia didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri sementara ketika ditahan polis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
 
Bagi pertuduhan itu, Nordin didakwa mengikut Peraturan 7(1) dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
 
Terdahulu, Nordin, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama dan dia perlu menanggung keluarga.
 
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Nom Phot Prackdit. - Bernama