Pelaburan Wang Pampasan Sawah Bawa Tuah, Petani Perlis Bawa Pulang Perodua Axia Baru!

Petani Md Arshad Darus, 82 yang menggunakan wang pampasan pengambilan tanah sawah untuk projek tebatan banjir Perlis, untuk membeli Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) tiga tahun lepas, memenangi hadiah utama cabutan tempatan (Kedah/Perlis) untuk bulan Mac, berupa sebuah kereta Perodua Axia, di BSN cawangan Kangar, hari ini. - Foto BERNAMA
KANGAR – Seorang petani tidak menyangka wang pampasan tanah sawah yang dilaburkan membeli Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) tiga tahun lepas, membawa tuah apabila beliau memenangi hadiah utama cabutan tempatan (Kedah/Perlis) untuk bulan Mac, berupa sebuah kereta Perodua Axia.

Md Arshad Darus, 82, dari Batu Pahat dekat sini, berkata kereta tersebut akan dihadiahkan kepada anak bongsunya, Hasmadi, 38, yang kini menjaganya.

“Kerajaan membayar wang pampasan bagi pengambilan hampir satu ekar tanah sawah saya yang termasuk dalam projek tebatan banjir Perlis utara lebih tiga tahun lepas. Sebahagian wang itu saya laburkan membeli SSP,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Deposit dan Transaksi Perbankan BSN Kedah/Perlis, Adzha Othman menyerahkan replika kunci kereta tersebut kepada Md Arshad di BSN Kangar.

Adzha berkata cabutan bagi bulan Mac berlangsung di Wisma BSN, Kuala Lumpur.

Beliau berkata pada tahun ini, BSN menawarkan 13 buah Perodua Axia setiap bulan kepada pemenang cabutan tempatan dan satu untuk cabutan bonanza.

“Pelanggan layak menyertai cabutan dengan membuat simpanan minimun RM10. Selain Perodua Axia, pelbagai hadiah menarik ditawarkan,” kata Adzha, sambil menambah bahawa SSP adalah produk simpanan patuh syariah berasaskan konsep mudharabah. – BERNAMA