BANDA ACEH – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail menyaran agar pelajar pengajian agama menguasai bahasa asing
sebagai tambahan kepada mereka ke arah menjadi ulama yang berupaya
berinteraksi dengan pelbagai kelompok manusia.
Menurut baginda, dalam zaman serba pantas dan penggunaan teknologi
beraplikasi tinggi, mereka juga harus bijak menggunakan media sosial
dalam menyampaikan ilmu termasuk menyelami pemikiran orang ramai.
“Pelajar pasti mempunyai matlamat dan mungkin berazam menjadi ulama
serta mengembangkan ilmu yang dimiliki. Saya harap pelajar dapat
mengasilimisasikan nilai-nilai ke arah itu agar mereka tidak menjadi
ulama jumud,” titah baginda.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Perlis (MAIPs) bertitah pada majlis ‘Tautan Ukhuwah Bersama
Pelajar Malaysia’ di Aceh di sini malam tadi sempena lawatan kerja tiga
hari baginda ke Aceh yang berakhir hari ini.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 200 pelajar, Mufti Perlis Dr Mohd
Asri Zainul Abidin menyampaikan tazkirah mengenai nilai yang perlu ada
pada umat Islam sementara Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis
(UniMAP), Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin memberi motivasi kepada
pelajar.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelajar agama sebagai pewaris ulama
juga perlu bijak menyelesaikan hal-hal keagamaan membabitkan rakyat
supaya umat Islam terus bersatu.
Sebelum itu baginda beserta anggota jawatankuasa MAIPs bersama pihak
pengurusan Universitas Ubudiyah meyertai program berbasikal di beberapa
buah kampung di sekitar Banda Aceh.
Baginda turut menyampaikan bantuan kepada rumah anak-anak yatim, masjid dan taman asuhan kanak-kanak. – BERNAMA