Pelajar Sekolah Agama Di Pendang Dakwa Dibelasah, Dibotakkan 30 Senior

GURUN – Seorang pelajar Tingkatan Satu dilapor mengadu dirinya telah dipukul kira-kira 30 pelajar senior di sebuah sekolah agama di Pokok Tai,Pendang pada Sabtu lalu.

Pelajar berkenaan yang dikenali sebagai Muhammad Ammar Aqil Zainudin, 13, dari Taman Ria Mesra di sini mendakwa dia dipukul bermula pada jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi di bilik asrama pelajar senior di sekolah tersebut.

Mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu turut menceritakan bahawa dia dipukul selepas dituduh mencuri dompet mengandungi wang tunai RM60 milik seorang pelajar Tingkatan Dua.
Zahari menunjukkan kesan lebam pada anggota badan anak saudaranya Muhammad Ammar Aqil Zainudin yang dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior sebuah sekolah agama di Pokok Tai Pendang.
Menurutnya Muhammad Ammar, dia sebenarnya menemui dompet itu di padang sekolah itu kira-kira 6.30 petang Jumaat (17 April) dan menyimpannya dengan niat mahu menyerahkan kepada pemiliknya.

“Mereka (pelajar senior) minta dompet itu dan saya serahkannya sekali dengan wang. Tetapi mereka pukul saya, tumbuk saya di seluruh badan, tampar muka, libas dengan tuala, bakar rambut dan gunting rambut saya sampai botak,” katanya ketika ditemubual di rumahnya, semalam.

Memetik mStar, Muhammad Ammar menjelaskan bahawa selepas dia dibelasah teruk, dia telah diletakkan di luar bilik pelajar senior dan terpaksa merangkak perlahan-lahan menuju ke biliknya dalam keadaan lemah.

Menurutnya lagi, pelajar-pelajar senior terbabit kemudian turut memberi amaran supaya tidak melaporkan tindakan buli itu kepada pihak sekolah dan ibu bapanya, atau dia baka berdepan dengan tindakan dibelasah lagi.

Sementara itu bapa saudara mangsa, Zahari Haris, 43, berkata kejadian itu hanya diketahui bapa Muhammad Ammar kira-kira jam 8 pagi pada hari sama ketika melawatnya di asrama.

Difahamkan bahawa bapanya kemudian membawa Muhammad Ammar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk membuat pemeriksaan perubatan dan mendapati pelajar itu tidak mengalami kecederaan dalaman.

Menurutnya, Muhammad Ammar cuma mengalami bengkak-bengkak dan lebam di beberapa bahagian tubuhnya termasuk di bahagian peha, muka dan belakang badan.

Zahari menjelaskan bahawa laporan polis mengenai kejadian itu kemudian dibuat di Balai Polis Gurun kira-kira 2.30 petang. 

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abd Aziz Ahmad yang dihubungi media mengesahkan pihak mereka ada menerima laporan kejadian tersebut. -Kedahnews.com