Pelancaran Jentera Pakatan Di #PRKPermatangPauh: Hadi Tiada Cetus Tandatanya

ALOR SETAR - Tanpa kelibat kepimpinan tertinggi PAS Pusat, pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh oleh Pakatan Rakyat yang berlangsung siang tadi dikatakan "tercalar" melambangkan Pakatan Rakyat tidak lagi sepakat dalam titik persamaan mereka.

Majlis yang diadakan di pusat khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Guar Perahu hanya dihadiri oleh pemimpin tertinggi PKR dan DAP, manakala PAS pula hanya diwakili oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Rawa.

Menurut sumber, tiada kelibat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini menjadi "seteru utama DAP" di majlis berkenaan, atau Timbalannya, Mohamad Sabu yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS di negeri yang dinaungi DAP tersebut.

Ketiadaan Abdul Hadi dikatakan telah menjadi tandatanya di kalangan media yang hadir memandangkan Permatang Pauh merupakan parlimen yang menjadi kubu kuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Mujahid yang sebelum ini tidak dikategorikan sebagai "pro-ulama" menegaskan bahawa, PAS akan tetap memberi sokongan “101 peratus di belakang PR”.

Beliau dalam kenyataannya di majlis itu turut menolak andaian sesetengah pihak bahawa PAS dalam diam bakal membantu UMNO merampas kerusi tersebut dari PKR, sebaliknya berkata mereka akan terus komited bersama gabungan tersebut.

“Baru-baru ini saya ditanya pemberita untuk memberikan pendapat mengenai UMNO meminta PAS membantu BN di Permatang Pauh. Saya jawab “Minta maaf. Jangan perasan kami teringin sangat”.

“Saya juga minta pemberita itu memberitahu Umno Pulau Pinang, kami akan pastikan UMNO tewas dalam pilihan raya ini,” katanya.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum ini dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terpaksa dikosongkan apabila beliau didapati bersalah dalam kes Liwat II.

Walaupun telah membuat petisyen pengampunan Yang Di-Pertuan Agong, ia kemudiannya ditolak membuatkan Anwar terpaksa menghadapi hukuman penjara selama lima tahun, sekaligus mengugurkan kelayakannya sebagai ahli parlimen.

PAS Permatang Pauh sebelum ini telah memberi amaran kepada PKR supaya tidak mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail atau keluarga Anwar, dan mengingatkan parti itu supaya jangan sesekali menyentuh soal hudud ketika berkempen nanti.

Amaran keras yang diberikan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan berkenaan, Jamsari Samad kepada PKR sekiranya parti tersebut tidak mahu sebarang kekecohan berlaku sekitar PRK di Permatang Pauh kali ini. - Kedahnews.com