KUALA LUMPUR – Kerja-kerja membawa keluar bangkai helikopter yang
terhempas di Semenyih, Selangor akan disiapkan sepenuhnya hari ini bagi
membolehkan penduduk setempat melakukan aktiviti biasa mereka, kata
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata semua bahan dan serpihan yang dikeluarkan akan
dikumpulkan di satu tempat selamat bagi proses siasatan dan analisa.
“Kami harap hari ini boleh bersihkan kawasan itu. Kami mahu
membersihkan kawasan itu secepat mungkin bagi membolehkan aktiviti lain
penduduk di situ diteruskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen
hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lepas, anggota Parlimen Rompin Tan Sri
Jamaluddin Jarjis merupakan antara enam yang terkorban apabila elikopter
Dauphin AS365N2 yang dinaiki mereka dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur
terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada
kira-kira 4.45 petang.
Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata setakat ini pihak
bomba dan polis memberikan kerjasama yang baik kepada Jabatan
Penerbangan Awam (DCA) dan segala kerja pembersihan di kawasan itu
berjalan lancar.
“Kami berharap proses siasatan dan analisis juga dapat dijalankan
dengan segera bagi membolehkan laporan awal dikeluarkan secepat
mungkin,” katanya.
Lima lagi mangsa ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk
Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pengawal
peribadi Jamaluddin, Razakan Seran, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang
dan seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva. – BERNAMA