Pemilihan PAS: Gandingan Abdul Hadi, Tuan Ibrahim Mantap Ungguli Carta Calon

Di sebalik kehangatan Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan Rompin, tidak kurang juga hangatnya proses pencalonan pemilihan kepimpinan tertinggi PAS yang berlangsung di seluruh negara.

Sehingga semalam, 28 April, nampaknya kemantapan gandingan kepimpinan ulama, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man, jauh mendahului jumlah pencalonan pencabar-pencabar lain bagi jawatan nombor satu dan dua di dalam parti tersebut.

Abdul Hadi kini mendapat pencalonan tertinggi bagi jawatan Presiden PAS dengan 99 undi, sayup meninggalkan dua pencabarnya, Datuk Husam Musa dan Ahmad Awang yang masing-masing hanya menerima sebanyak 8 dan 5 pencalonan sahaja.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim telah menerima sebanyak 94 pencalonan, jauh meninggalkan penyandang jawatan, Mohamad Sabu, yang hanya mendapat 12 pencalonan dan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah yang memperoleh 3 pencalonan.

Bagaimanapun, Mohamad Amar dijangka menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden dan memberi tumpuan pada jawatan Naib Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden, keputusan pencalonan terkini seolah turut dikuasai pemimpin pro-ulama apabila Idris Ahmad dan Mohammad Amar yang masing-masing ditempat pertama dan kedua, menerima 76 dan 47 pencalonan PAS Kawasan.

Bagaimanapun, tempat ketiga kini menyaksikan persaingan seorang lagi pemimpin pro-ulama, Nasruddin Hasan Tantawi yang menerima sebanyak 42 pencalonan mengejar Salahuddin Ayub memiliki kelebihan 4 pencalonan.

Apa yang menjadi perhatian penulis ialah tentang penyandang jawatan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang seolah "tercicir", "corot" dan seolah bakal kalah teruk pada pemilihan PAS kali ini.

Sudahlah tidak tercalon sebagai Presiden, Mat Sabu hanya mampu menerima 12 pencalonan sahaja untuk jawatan Timbalan Presiden dan 3 pencalonan untuk jawatan Naib Presiden. Sedangkan pada muktamar lalu, beliau menerima sebanyak 588 undi ketika mengalahkan Mohd Amar yang hanya menerima 490 undi.

"Sedih" sungguh melihat kedudukan Mat Sabu yang corot itu. Tidakkah PAS Kawasan kasihan padanya? Apakah PAS di seluruh negara mahu kuburkan karier Mat Sabu yang terkenal dan "famous"? Bukankah dia "lejen"? Sampai hati...

Apapun, tahniah diucapkan kepada Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim yang mengungguli "carta" pencalonan PAS bagi muktamar kali ini. Biarpun wujud dakwaan cuba dijatuhkan pihak tertentu, jelas ia tidak memberi kesan padanya.

Biarpun cuba "dipecat" dari pihak luar parti yang menyibuk, Abdul Hadi masih lagi kental mendapat sokongan akar umbi PAS.

Apapun, kita nantikan detik-detik akhir nanti dan penulis yakin bahawa Allah SWT hanya akan memberi kuasa kepada mereka yang telah ditentukanNya, kan? Kita sama-sama lihat sama ada PAS masih berkepimpinan ulama atau tidak lagi selepas muktamar ini...