SHAH ALAM - Pas Kawasan Kuala Langat dan Sabak Bernam menyatakan
sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi
mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti itu pada pemilihan Pas,
Jun depan.
Kedua-dua kawasan itu turut mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
sebagai calon Timbalan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang
berlangsung hari ini.
Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Langat Datuk Dr Ahmad Yunus Khairi
berkata, Abdul Hadi dilihat calon yang layak dan disebabkan faktor itu
beliau masih diberi kepercayaan penuh untuk memimpin parti.
"Kawasan Kuala Langat masih lagi mahu mengekalkan kepimpinan Datuk Seri
Abdul Hadi sebagai presiden apabila sebulat suara memilih beliau dalam
mesyuarat hari ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pas Kawasan Kuala Langat turut menamakan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk
Iskandar Samad sebagai calon naib presiden dan dua calon lain iaitu
Idris Ahmad dan Nasarudin Hassan Tantawi.
Sementara itu, Pas kawasan Sabak Bernam mencalonkan Sallehuddin Ayub untuk terus kekal sebagai naib presiden parti.
Yang Dipertua Pas kawasan Sabak Bernam Sallehen Mukhyi berkata selain
Sallehuddin calon lain yang diundi ialah Iskandar dan Nasarudin. -
Bernama