Pemimpin Syiah Yemen Ikrar Tidak Menyerah Kalah

Abdulmalik al-Houthi
ADEN – Seorang pemimpin pemberontak Houthi berikrar kelmarin untuk tidak menyerah kepada ‘kekerasan’ selepas serangan udara pakatan Arab Saudi dan pertempuran antara anggotanya dan militia prokerajaan yang meragut 85 nyawa di Yemen.

Pemimpin berkenaan, Abdulmalik al-Houthi membuat janjinya pada hari ke-25 kempen serangan udara pakatan Arab Saudi yang mengorbankan beratus-ratus orang dan memaksa ribuan keluarga menjadi pelarian, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kempen serangan udara itu bermula pada 26 Mac lalu atas permintaan Presiden Abd. Rabbu Mansour Hadi selepas beliau terpaksa berlindung di Arab Saudi berikutan kemaraan pemberontak Syiah Houthi ke bandar Aden selepas mereka menawan ibu kota Yemen, Sanaa.

“Rakyat Yemen tidak akan menyerah kalah. Kami akan bangkit menentang kekerasan,” kata Abdulmalik.

Tegasnya, Arab Saudi tidak berhak campur tangan di negara jirannya, Yemen selain menyebut bahawa Iran tiada pengaruh di negara Semenanjung Arab itu.

“Krisis politik ini masalah dalaman kami dan kamilah yang berhak untuk mencorakkan masa depan Yemen,” ujarnya.

Sebelum ini, Arab Saudi menuduh Iran yang mengamalkan ajaran Syiah sebagai menyokong pemberontak Houthi.

Teheran yang menafikan tuduhan itu telah mengemukakan pelan damai empat perkara ke PBB bagi menamatkan keganasan di Yemen. – AFP