Pulau Langkawi dipilih lokasi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN 2015 |
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah dan rakyat di Langkawi boleh menarik nafas lega apabila Pulau Langkawi dilapor telah dipilih menjadi lokasi pemukiman kepada Sidang Kemuncak ASEAN 2015 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 April ini.
Meskipun punya banyak lagi lokasi pilihan lain di Malaysia, pemilihan Pulau Langkawi sebagai lokasi strategik pemukiman sidang kemuncak itu dilihat sangat membantu Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kemasukan pelancong asing di pulau lagenda tersebut.
"Pemilihan Langkawi sebagai lokasi pemukiman untuk Sidang Kemuncak ASEAN akan memberi impak yang luas untuk mempromosikan pulau peranginan ini.
"Inilah peluang terbaik untuk pengusaha pelancongan memperluaskan lagi promosi Langkawi dalam kalangan negara-negara ASEAN," kata Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri Kedah itu turut menggesa penduduk di Pulau Langkawi supaya memanfaatkan sidang antarabangsa berkenaan dengan memberikan khidmat terbaik dan layanan istimewa kepada para delegasi yang hadir.
"Oleh itu, penduduk dan pengusaha pelancongan perlu mempamerkan imej yang baik untuk menyambut ketibaan ketua-ketua negara ASEAN," katanya lagi.
Sidang kemuncak dua hari itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di ibu negara pada 26 dan 27 April depan.
Pemilihan Pulau Langkawi yang terletak jauh dari ibu negara itu dilihat mampu menutup mulut ramai pihak yang sebelum ini mendakwa hubungan keruh di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kedah, pimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Padahal, lebih banyak lagi lokasi menarik yang sesuai dan lebih dekat untuk dipilih sebagai lokasi pemukiman sidang kemuncak berkenaan.
Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengatakan Kerajaan Pusat seolah "menganaktirikan" Kerajaan Negeri Kedah gara-gara kritikan terbuka yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kritikan Tun M terhadap Najib itu dikatakan turut memberi tekanan terhadap Mukhriz yang sebelum ini dilantik Najib sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.
Menurut sumber, desas-desus berkenaan turut mendakwa seolah Kerajaan Pusat enggan membantu Kerajaan Negeri Kedah dalam menunaikan manifesto Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu berhubung pembinaan Litar Lumba 1Kedah yang dipersetujui Najib ketika itu.
Mempersoal peruntukan yang konon sepatutnya disalurkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, desas-desus itu yang dipercayai penyokong tegar Mukhriz seolah mendakwa Najib sengaja sabotaj anak bekas Perdana Menteri dan menagih janji tersebut ditunaikan Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun, sumber kami menjelaskan bahawa peruntukan bagi membina litar berkenaan sepatutnya ditagih dari Kementerian Belia dan Sukan di bawah Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang pernah menewaskan Mukhriz dalam perebutan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini. -Kedahnews.com