KUALA NERANG - Projek pemulihan Empangan Pedu bernilai RM60 juta bakal
menyaksikan kira-kira 2,500 hektar sawah padi tambahan dalam kawasan
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kedah dan Perlis.
Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani,
Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, projek yang
dijangka siap September tahun ini akan membantu Mada memasukkan kawasan
sawah padi yang sebelum ini bukan di bawah kelolaannya.
Beliau berkata, empangan yang beroperasi sejak 1969 sering mengalami
beberapa masalah seperti injap empangan tidak berfungsi sepenuhnya yang
melambatkan proses penyaluran air ke kawasan sawah padi.
"Sebenarnya kita tak mahu tunggu lama untuk selenggara peralatan
mekanikal yang lama. Selain kos yang bakal meningkat kita bimbang
penyaluran air ke sawah tidak mengikut jadual akibat kerosakan
mekanikal.
"Penyelenggaraan empangan ini amat penting untuk melancarkan lagi
pelepasan air dari empangan ini ke 100,685 hektar sawah padi dalam
kawasan Mada di Kedah dan Perlis," katanya selepas melawat kerja-kerja
pemulihan empangan hari ini.
Suraya berkata, kerja-kerja pemulihan tersebut juga tidak mengganggu
jadual pelepasan air oleh Mada yang dijadual Ahad ini (5 April) bagi
musim penanaman Fasa 1/2015 hingga akhir bulan ini.
Beliau berkata, pelepasan air dibuat selepas kerja-kerja pemasangan
peralatan mekanikal seperti injap, pemasangan pintu air, pemasangan
terowong saiong yang dilakukan awal Februari lepas siap sepenuhnya esok.
Katanya, kerja-kerja pemulihan dilakukan syarikat tempatan menggunakan
kepakaran Australia dan tidak memerlukan pihak Mada mengeringkan
empangan untuk tujuan itu.
Usaha memenuhkan kembali empangan sekiranya dikeringkan akan mengambil masa lebih dua tahun, katanya.
"Teknologi yang diguna sepanjang proses pemulihan empangan ini pertama
kali diaplikasi di negara ini dan Asia Tenggara. Kita berharap
penggunaan teknologi ini mampu menjadi pemangkin serta contoh kepada
empangan lain," katanya. - Bernama