MUADZAM SHAH – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta
golongan pendakwah di negara ini berhati-hati menggunakan bahan siaran
atau video mengandungi perlakuan yang boleh memesongkan akidah ketika
menyampaikan ceramah agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat
Islam.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohd Nordin Ibrahim berkata
mengambil contoh isu penyebaran video ‘zikir dan selawat sambil menari’
di laman sosial baru-baru ini, beliau mahu golongan pendakwah mengikut
garis panduan yang ditetapkan jika ingin mengulang siaran video
berkenaan.
“Kena tengok tujuan video itu disiar…jika nak buat perbandingan atau
contoh, tidak jadi masalah tetapi kena lakukan dengan berhati-hati sebab
kita tak mahu nanti ia menimbulkan pelbagai persepsi kepada umat
Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program
Wacana Ilmu: Isu Semasa dan Hal Ehwal Islam bersama 350 guru Kelas
al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan imam masjid serta surau Parlimen
Rompin di sini, hari ini.
Program itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sebelum ini video yang mengandungi amalan berzikir dan selawat sambil
menari oleh pengikut Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang dipimpin
Sheikh Nazim Al-Haqqani tersebar di media massa dan sosial.
Perlakuan itu bagaimanapun dilaporkan berlaku di negara luar dan tidak melibatkan umat Islam di negara ini.
Jakim dalam kenyataannya di e-fatwa sebelum ini turut menjelaskan
bahawa kumpulan tariqat itu dan perbuatan berzikir sambil menari itu
adalah menyeleweng dan pengamal ajaran tersebut diminta segera
bertaubat.
Dalam pada itu Mohd Nordin berkata Jakim akan terus memantau aktiviti
dakwah yang dijalankan di seluruh negara termasuk program Selawat
Perdana bagi memastikan pihak penganjur mengikut garis panduan yang
ditetapkan.
“Antara garis panduan yang ditetapkan ialah umat Islam yang hadir
perlu diasingkan lelaki dan wanita, tiada pergerakan badan yang
melampau, penganjur juga digalakkan membuat kawasan khas bagi mereka
yang hadir bersama keluarga masing-masing,” katanya. – BERNAMA