Penduduk Flat Simpang Kuala Kesal Taman Permainan Jadi Tempat Parking Kereta


ALOR SETAR - Penduduk di Flat Simpang Kuala, di sini, meluahkan rasa kesal berikutan taman di kawasan itu dijadikan tempat  letak kenderaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Wakil penduduk, A Jayagopal, 60, berkata, pihak berkenaan meletakkan kenderaan di situ sejak awal Januari lalu.

“Disebabkan taman itu dijadikan parkir saya yang sering bersenam di situ tidak dapat melakukan aktiviti tersebut,” katanya.

"Disebabkan itu, saya dan penduduk lain terpaksa bersenam di tempat lain.

Menurutnya, dalam masa sama, kanak-kanak di kawasan tersebut tidak dapat melakukan sebarang aktiviti riadah pada sebelah petang.

"Saya kasihan melihat kanak-kanak di sini kerana sudah tiada tempat untuk bermain bola," katanya.

Katanya, pada hujung minggu, semakin banyak kenderaan di parkir di taman tersebut.

"Tindakan itu seolah-olah menunjukkan mereka menyalahgunakan taman permainan awam sebagai tempat parkir," katanya.

Menurutnya, dia berharap pemilik kenderaan segera alihkan kenderaan mereka ke parkir yang disediakan.

"Dalam masa sama, saya minta pihak berkenaan atasi masalah ini berikutan melibatkan kemudahan penduduk di sini," katanya.

Sumber: Sinar Harian