Pengezonan RTD: Kerajaan Negeri Kedah Tumpu Bukit Kayu Hitam

CHANGLOON - Beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu dikenal pasti untuk program Pengubahan Pengezonan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kubang Pasu 2030 dalam usaha pembangunan lebih strategik.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, langkah pengezonan semula dilakukan berikutan terdapat tekanan pembangunan di beberapa kawasan tersebut.

“Penekanan pengezonan semula kali ini lebih ketara di Bukit Kayu Hitam sebagai bandar sempadan negara dan berpotensi sebagai bandar perindustrian.

“Manakala kawasan Sintok pula berada dalam koridor ilmu dan berpotensi sebagai Pusat Penempatan Utama. Justeru, isu yang memerlukan tindakan pengezonan semula seperti tekanan pembangunan petempatan bandar membabitkan penukaran zon pembangunan, potensi pembangunan dan pembesaran kawasan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Publisiti Pengubahan Pengezonan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kubang Pasu 2030, di C-Mart Changloon, semalam.

Sementara itu, Badrol Hisham berkata, selain Bukit Kayu Hitam dan Sintok, kajian Pelan Komprehensif RTD Kubang Pasu mendapati beberapa lokasi lain turut memerlukan pengubahan pengezonan seperti Jitra, Changloon, Ayer Hitam dan Kodiang.

Katanya, sempena program dan pameran Publisiti Pengubahan Pengezonan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kubang Pasu 2030 yang diadakan diharap mendapat perhatian daripada masyarakat di daerah tersebut. -Sinar Harian