Pengguna Jimat Hingga 20% Beli Barang Pasar Tani Mulai 1 Jun

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Para pengguna akan menikmati penjimatan antara 5 dan 20 peratus apabila membeli barangan keperluan asas di pasar tani ekoran larangan mengambil bekalan daripada pemborong mulai 1 Jun depan. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tanpa penggunaan orang tengah, petani dapat mengurangkan kos, sekaligus menurunkan harga barangan jualan mereka.

Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah diarah untuk menentukan keperluan serta mekanisme pembekalan hasil ladang terus ke pasar tani.

“Bagi menyokong pelaksanaan program ini sebanyak 200 pusat pengumpulan bekalan makanan asas akan disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya pada majlis perasmian Seminar Jualan Terus Hasil Ladang ke Pasar Tani di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.

“Saya percaya dan yakin bahawa inisiatif ini akan memberi pulangan dan impak besar kepada petani di samping dapat membebaskan mereka daripada dibelenggu orang tengah,” katanya.

Larangan itu melibatkan kesemua 580 pasar tani di seluruh negara, membabitkan sebanyak 25,000 peniaga. 

Beliau berkata menjelang hujung tahun ini sebanyak 60 pasar tani lagi akan ditambah di beberapa lokasi sesuai yang telah ditetapkan. – BERNAMA