Peniaga Dakwa Ditipu Bank Babit Pinjaman RM50,000


SUNGAI PETANI - Seorang peniaga sambilan terkejut apabila namanya diluluskan untuk pinjaman pelaburan sebanyak RM50,000 oleh sebuah institusi perbankan biarpun tidak pernah membuat sebarang permohonan.

Hanim Mohamad, 30, mendakwa, dia terkilan kerana butir peribadinya yang diberikan untuk membuka akaun di bank berkenaan disalah guna kepada pinjaman pelaburan sehinggakan berdepan tekanan akibat menanggung hutang yang banyak.

Dia mendakwa, pada Oktober lalu, dia dan suami ada mengunjungi sebuah bank untuk membuka akaun bagi memudahkan urusan perniagaan sambilan yang dijalankannya.

“Sementara menunggu proses membuka akaun baru selesai, kami diberi penerangan berhubung pinjaman pelaburan terbabit oleh seorang kakitangan bank,” katanya.

Dakwa Hanim, semasa diberi penerangan, dia diminta menandatangani satu kertas dengan tujuan bersetuju untuk diberi penerangan tentang pinjaman pelaburan itu.

“Kakitangan itu memberitahu, sekiranya saya berminat untuk buat pinjaman, saya boleh datang segera dan meninggalkan ruang kosong di kolum tarikh bagi memudahkan urusan pada perjumpaan seterusnya.

“Dia juga ada memaklumkan saya supaya membawa bersama dokumen diperlukan seperti sijil daftar perniagaan dan penyata akaun bank sekiranya berminat membuat pinjaman pelaburan,” dakwanya.

Bagaimanapun, dakwanya, dua bulan kemudian ketika mahu membuat pinjaman peribadi, permohonannya tidak dapat diluluskan setelah pihak bank memaklumkan dia sudah membuat pinjaman pelaburan.

“Saya terkejut apabila laporan menunjukkan saya telah membuat pinjaman pelaburan sebanyak RM50,000 dan perlu membuat bayaran setiap bulan tanpa disedari,” dakwanya.

Menurut Hanim, akibat tidak puas hati, dia terus menghubungi pihak bank namun setelah beberapa kali perbincangan, mereka gagal menyelesaikan perkara itu.

“Saya tidak berpuas hati apabila butir peribadi saya digunakan untuk membuat permohonan pelaburan berkenaan sedangkan tidak pernah memohon dan tidak menghantar dokumen yang diperlukan.

“Bagaimana pihak bank boleh meluluskan pinjaman ini sedangkan dalam akaun bank saya ini hanya ada RM20 sahaja,” katanya.

Akibat tidak berpuas hati, dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani berhubung perkara itu.

Pendedahan juga dibuat supaya orang ramai berhati-hati dengan penipuan licik dijalankan individu tidak bertanggungjawab tanpa disedari sehingga menyebabkan dia menjadi mangsa keadaan. -Sinar Harian