GEORGE TOWN – Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT II), Mohd Anis
Faron Ahmad ditahan polis selepas perlawanan membabitkan pasukannya
dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata
pemain berusia 33 tahun itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Kecil 1955
Pindaan 1987.
“Pemain itu masih berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan
selepas selesai siasatan dia akan dibebaskan dengan jaminan polis,”
katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.
Sumber polis memberitahu pemain berkenaan dilihat mengeluarkan
kata-kata kesat kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas ketika
sedang berjalan memasuki bilik persalinan sejurus permainan berakhir
kira-kira pukul 10.50 malam.
Terdahulu, perlawanan berlangsung dalam keadaaan tegang dengan
pengadil Mohd Mohd Jeffrey Zolkefli melayangkan tiga kad kuning kepada
pasukan Pulau Pinang manakala pasukan pelawat menerima dua kad kuning.
Situasi semakin tegang apabila penonton menunjukkan reaksi tidak
berpuas hati dengan bersorak dan mula membaling bekas minuman kosong dan
sampah ke dalam kawasan padang pada minit ke-85.
Mohd Zaquan Adha meledak gol tunggal JDT II seawal minit kedua
sebelum Pulau Pinang bangkit menghasilkan dua gol menerusi Hilton
Moreira dan Alberto Goncalves pada masa kecederaan. – BERNAMA