Penjaga Gol JDT II Mungkin Dipecat PBNJ

ALOR SETAR – Penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Mohd. Anis Faron Ahmad Arsidi berhadapan risiko disingkirkan daripada pasukan jika didapati salah melemparkan kata-kata kesat kepada anggota keselamatan sewaktu aksi menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya kelmarin.

Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu kenyataan media memberitahu, perbuatan seperti itu merupakan satu pelanggaran disiplin dalam Harimau Selatan dan boleh memalukan naman baik pasukan.

“Beliau yang ditahan oleh pihak berkuasa setelah melemparkan kata-kata kesat kepada pegawai bertugas dan jika didapati bersalah beliau akan ditamatkan kontraknya bersama JDTII,” kata kenyataan itu hari ini.

Tegas PBNJ, penamatan kontrak pemain itu selaras dengan polisi PBNJ yang tidak bertoleransi dengan perbuatan berkaitan disiplin.

“Kami masih menunggu laporan penuh dari pihak polis sebelum PBNJ mengambil tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

PBNJ sebelum ini memecat seorang pemain JDT kerana didapati mencuri wang rakan sepasukan pada 1 April tahun lalu. -Kedahnews.com