Penjayah Lari Ketika Diserbu Tembakan Polis Di Pendang


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya (dua, kiri) bersama anggota memeriksa kenderaan curi yang ditinggalkan oleh tiga lelaki di sebuah stesen minyak di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya (dua, kiri) bersama anggota memeriksa kenderaan curi yang ditinggalkan oleh tiga lelaki di sebuah stesen minyak di sini hari ini. – Foto BERNAMA
PENDANG – Polis sedang mengesan tiga suspek lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan mewah yang berjaya melarikan diri selepas diserbu oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kedah pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi berlaku ketika kereta jenis Honda City yang dinaiki tiga lelaki berumur antara 20-an hingga 30-an itu diekori oleh sekumpulan anggota Stafoc Bukit Aman.

Beliau berkata, ketika di tempat kejadian tiga lelaki menyedari kehadiran anggota polis bertindak melarikan diri dengan melanggar beberapa kenderaan polis yang cuba menghalang kenderaan suspek.
“Suspek yang memandu kenderaan itu mengundur kereta dan melanggar beberapa buah kereta serta hampir melanggar anggota Stafoc yang cuba menghalang mereka.

“Suspek kemudiannya berhenti di sebuah stesen minyak di Pendang bertindak meninggalkan kenderaan mereka di situ sebelum mencuri sebuah kereta jenis Proton Persona yang berada di stesen tersebut (dan) menghala ke Plaza Tol Pendang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Nashir berkata, tiga suspek itu kemudiannya meninggalkan kenderaan Proton Persona di Juru, Pulau Pinang dan mencuri sebuah lagi kenderaan jenis Volkswagen kira-kira satu jam selepas kejadian di stesen minyak Pendang.

Anggota Polis Forensik melakukan siasatan terhadap kenderaan curi yang ditinggalkan oleh tiga lelaki di sebuah stesen minyak di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Beliau berkata, terdapat lima kelongsong peluru di stesen minyak di Jalan Kuala Kedah dan pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek turut melepaskan tembakan ke arah polis.

“Kita percaya salah seorang daripada tiga suspek mengalami kecederaan berdasarkan kesan darah dalam kenderaan tersebut dan kita juga telah minta semua klinik kerajaan dan swasta untuk kesan suspek yang mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta jenis Honda City juga merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Kepong, Selangor.

Katanya, tiga suspek terbabit antara buruan pihak Stafoc dalam usaha membanteras kegiatan curi kenderaan mewah di negeri ini.

Mohd Nashir berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan kematian kepada anggota polis. – BERNAMA