Penyiasat warga Perancis yang mengetuai pasukan siasatan tragedi
Germanwings menafikan penyebaran video yang dikatakan dirakam pada
saat-saat akhir sebelum pesawat itu terjunam di Pergunungan Alps, 24 Mac
lalu.
Brice Robin, yang mengetuai siasatan itu mengatakan setakat ini tiada
sebarang video yang dijumpai di lokasi kemalangan seperti dihebahkan
sebelum ini.
Robin menjawab persoalan media mengenai penerbitan dua akhbar tabloid
di Jerman dan Perancis yang mendedahkan mengenai penemuan telefon
bimbit memaparkan detik-detik akhir yang sempat dirakam penumpang
sebelum penerbangan mereka dari Barcelona ke Dusseldorf terhempas di
Pergunungan Perancis.
Setakat ini, hasil siasatan banyak menjurus kepada pembantu
juruterbang Andreas Lubitz, 28, dikatakan sengaja menjunamkan pesawat
sehingga mengorbankan 149 penumpang dan anak kapal yang lain.
Andreas dikatakan bertindak demikian kerana mempunyai rekod perubatan pernah menerima rawatan kemurungan sejak lapan tahun lalu.
Kedua-dua akhbar tabloid itu mendakwa kandungan video itu adalah benar. -Kedahnews.com