KOTA KINABALU – Rang Undang-Undang Pencegah Keganasan (POTA) 2015
bukan untuk Barisan Nasional (BN) tetapi sebagai perisai bagi menjaga
keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara ini, kata Anggota Dewan
Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya.
Beliau berkata rang undang-undang itu diluluskan tanpa pindaan pada
persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini seharusnya disokong oleh semua
pihak bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara yang dinikmati
ketika ini dapat dikekalkan, seterusnya mencegah pengaruh dakyah secara
berkesan.
Katanya tragedi hitam yang menimpa negara ini dalam peristiwa
pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna dua tahun lepas, serta
kes-kes membabitkan usaha merekrut anggota militan IS memerlukan
undang-undang itu.
“Tidak boleh lagi menunggu sehingga berlaku tragedi hitam kedua atau
ketiga (baharu mahu) untuk mengekang aktiviti keganasan yang kini sudah
tidak mempunyai had sempadan terutama dalam era ledakan teknologi
maklumat dan penggunaan media sosial yang meluas,” katanya.
Samsudin berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan
ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di
sini, hari ini.
Sehubungan itu, Samsudin meminta pemimpin politik pembangkang supaya
tidak memanipulasi serta memutarbelit fakta undang-undang tersebut
sehingga akan mengganggu pelaksanaannya nanti yang akhirnya menjejas
keselamatan negara dan rakyat.
Katanya semua pihak yang mendakwa ia sebagai undang-undang kejam
harus mengubah persepsi itu kerana ia bukan digubal bagi menyekat
kebebasan bersuara apatah lagi hak asasi manusia, sebaliknya sebagai
pencegahan kepada ancaman keganasan.
“Untuk itu, mana-mana pemimpin politik tidak perlu takut dengan
undang-undang ini kerana ia dibuat untuk menyekat dan mencegah kumpulan
pengganas sahaja. Pengganas dan keganasan … adalah musuh negara yang
perlu ditangani bersama-sama,” katanya. – BERNAMA