SADONG JAYA – Perlembagaan Persekutuan melindungi semua rakyat negara
ini tanpa mengira agama dan bangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Nancy Shukri.
Beliau berkata perlembagaan negara juga adalah satu jaminan kepada
semua masyarakat mengenai kebebasan beragama seperti yang termaktub
dalam perlembagaan tersebut.
“Kita semua dilindungi di bawah perlembagaan…perlembagaan melindungi
semua bangsa dan agama di negara ini, tidak ada bangsa boleh menyatakan
dirinya lebih baik dari segi sosial ataupun agamanya lebih baik daripada
agama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Nemuai ke Rumah Panjai (Program
Melawat ke Rumah Panjang) sempena Program Orientasi Pegawai-pegawai
Persekutuan Perkhidmatan Awam Sarawak 2015, di Rumah Senangeh di sini
hari ini.
Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Ir Aidel
Lariwoo dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
Sarawak, Dirwana Azool.
Sebanyak 64 pegawai perkhidmatan awam dari pelbagai jabatan dibawa ke
rumah panjang berkenaan bagi memberi kefahaman mengenai adat resam dan
cara kehidupan masyarakat Iban menerusi acara kebudayaan seperti
‘Ngajat’, ‘Ngepan’ dan ‘Ngerebah Renyai’.
Sementara itu, Nancy berharap pegawai perkhidmatan awam yang terlibat
dalam program orientasi itu menjadikan pengalaman melihat toleransi
antara kaum di Sarawak sebagai satu perkara yang boleh memberi satu
pengalaman baharu.
Katanya sikap toleransi dalam kalangan masyarakat perlu ada supaya
rakyat negara ini dapat hidup bersama serta bersatu padu.- BERNAMA