Perlis Anjur Sukan Untuk Tarik Pelancong - Azlan Man

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perlis mahu menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu melalui penganjuran acara sukan, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata selain menjadikan Perlis sebagai destinasi pelancongan, penganjuran acara sukan juga dapat meningkatkan kesedaran rakyat Perlis dan Malaysia amnya ke arah gaya hidup sihat.

Katanya penganjuran Maraton Perlis 2015 yang dijadualkan pada 31 Mei depan adalah antara usaha kerajaan negeri bersama-sama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk mempergiatkan pelancongan sukan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Maraton Perlis 2015 di sini, hari ini. 

Acara maraton itu yang julung kali diadakan di Perlis dijangka menarik kira-kira 3,000 peserta.

“Penyertaan adalah dibuka kepada peserta-peserta tempatan dan juga antarabangsa,” katanya.

Maraton Perlis 2015 terdiri daripada tiga acara iaitu 21km, 10km dan 5km dan dibahagikan kepada enam kategori — Lelaki dan Wanita Terbuka; Lelaki dan Wanita Veteran, Remaja Lelaki dan Remaja Perempuan (bawah 18 tahun).

Pemenang kategori terbuka lelaki dan wanita untuk jarak 21km, masing-masing akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.

“Untuk peringkat awal ini kami hanya adakan acara separuh maraton dan kami berhasrat untuk menjadikannya sebagai acara tahunan. Kami (kerajaan negeri) juga akan melihat sama ada akan mengadakan acara maraton penuh pada masa akan datang,” kata Azlan.

Sebagai daya tarikan, Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin menaja sebuah kereta Kia Cerato KX bernilai RM89,680 sebagai hadiah utama cabutan bertuah yang dihadkan kepada peserta yang menamatkan larian dalam masa yang ditetapkan.

Pendaftaran kini dibuka dan peserta dikenakan bayaran antara RM10 dan RM50 mengikut kategori yang disertai.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web rasmi acara itu di www.perlismarathon.com. – BERNAMA