ALOR SETAR – Pengundi di Parlimen Permatang Pauh perlu menyedari
kebajikan mereka telah diabaikan oleh anggota Parlimennya selama ini dan
kini adalah masa untuk mengubahnya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri
Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau berkata pengundi di kawasan parlimen itu yang akan mengundi
pada pilihan raya kecil (PRK) 7 Mei depan perlu menolak isu yang tidak
membawa sebarang kepentingan kepada mereka.
“Saya berharap rakyat di Parlimen Permatang Pauh akan dapat melihat
tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen adalah mendahulukan rakyat di
kawasannya… itu adalah kewajipan mereka,” katanya pada pemberita di
sini, Selasa.
Mukhriz, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, sebelum
itu merasmikan majlis ‘Garis Mula Institut Keusahawanan Negara’
(INKSKEN) di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon hari ini.
Umno Kedah, katanya, akan berusaha gigih dalam meyakinkan pengundi di
Permatang Pauh supaya menolak isu yang tidak membawa sebarang faedah
kepada mereka.
Kata Mukhriz, memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan
‘underdog’ pada PRK Permatang Pauh, pendekatan yang digunakan haruslah
berbeza berbanding PRK Parlimen Rompin.
Beliau berkata reaksi PAS pada PRK Permatang Pauh juga menarik untuk
dilihat terutama sekali selepas rakan-rakan ‘Tahaluf Siyasinya
(kerjasama politik)’, PKR dan DAP, menolak bulat-bulat cadangannya untuk
melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.
Persoalannya, adakah PAS akan bersama-sama PKR dan DAP di Permatang Pauh.
“Saya hendak tengok keikhlasan PAS. Apabila Hudud yang
diperjuangkannya ditolak oleh rakan-rakan pembangkang, adakah mereka
terus membekalkan tukang-tukang kempen,” kata Mukhriz.
Mengenai PRK Rompin pula, beliau menyifatkan pemilihan Pemangku Ketua
Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin sebagai calon BN merupakan
pilihan yang sangat tepat.
Beliau berharap pengundi di kawasan itu akan memberi sokongan kepada
Hasan yang dikenali sebagai ‘orang lama’ di situ untuk berkhidmat
sebagai Anggota Parlimen Rompin.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Mukhriz berkata Unit
Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Perdana Menteri meluluskan
RM49.5 juta geran dana mudahcara bagi membiayai 18 projek oleh usahawan
di Kedah.
Pelaksanaan projek usahawan tempatan itu telah menyumbang kepada
pembangunan ekonomi di Kedah dan menyediakan peluang pekerjaan kepada
rakyat di negeri ini, katanya.
Selain itu, kata menteri besar, Teraju juga memperuntukkan RM8 juta
kepada Kedah menerusi Koridor Ekonomi Utara untuk pembangunan usahawan
mikro di negeri ini. – BERNAMA