KUALA LUMPUR – Persepsi bahawa kenaikan pangkat seseorang penjawat
awam kerana mereka mempunyai hubungan baik dengan ‘bos’, perlu dikikis,
kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Katanya kenaikan pangkat penjawat awam adalah berdasarkan tiga faktor
iaitu prestasi, perakuan ketua jabatan dan kekosongan, dengan perakuan
ketua jabatan sering dipertikai.
“Kata mereka kalau baik dengan bos tentu mudah naik pangkat. Jadi perkara ini telah diperkatakan dengan begitu rupa.
“Kita kena ingat bahawa kita kena ada sesuatu yang harus kita pegang
sebagai landasan untuk tujuan kenaikan pangkat,” katanya pada sesi soal
jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Shahidan menjawab soalan tambahan Senator Mohd Khalid Ahmad yang
ingin tahu sama ada kerajaan bercadang melaksanakan penstrukturan
perjawatan baharu dan kenaikan pangkat penjawat awam setiap lima tahun
sekali untuk meningkatkan profesion mereka.
Beliau berkata kenaikan pangkat penjawat awam dilakukan secara telus bagi memastikan semua pihak berpuas hati.
Menjawab soalan tambahan senator yang sama berhubung sama ada
kerajaan membuka peluang kepada penjawat awam kumpulan sokongan yang
mempunyai ijazah sarjana muda untuk kenaikan pangkat, Shahidan berkata
mereka perlu membuat permohonan untuk mengikuti skim baharu setelah
jawatan itu dibuka.
“Mereka akan bersaing sama seperti orang lain. Cuma kelebihan yang
besar, mereka telah bekerja dalam perkhidmatan berkenaan, jadi orang
kata markah lebih kepada mereka untuk dapat pekerjaan.
“Ini kerana kita tidak boleh buat secara automatik. Kalau secara
automatik habis semua orang dapat ijazah dan mereka minta naik pangkat
secara automatik ia sesuatu yang cukup berat pada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Shahidan
menyangkal dakwaan Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia
(ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam bahawa semakan gaji penjawat awam kali
terakhir dilakukan pada 1991.
Beliau menjelaskan semakan dan perubahan gaji penjawat awam dilakukan sebanyak lapan kali antara tahun 2000 hingga 2013.
Shahidan berkata antaranya pada tahun 2000, penjawat awam menerima
kenaikan gaji sebanyak 10 peratus, 2002 (10 peratus) dan 2007 (3.5
peratus hingga 7.5 peratus) termasuk kenaikan pada tahun 2013.
Pengerusi ASLI itu dilaporkan mencadangkan suruhanjaya tetap
ditubuhkan bagi membuat semakan gaji penjawat awam bagi setiap lima
tahun dan mendakwa kali terakhir semakan gaji dilakukan pada tahun 1991.
– BERNAMA