IPOH - Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV
pada 6 Mei, bakal menonjolkan keunikan dan kekayaan adat Kesultanan
Melayu Perak yang diwarisi sejak tahun 1528, selepas Sultan Mudzaffar
Shah I dijemput memerintah Perak.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi
Zainuddin berkata, meskipun pelbagai aktiviti disusun, pihaknya memberi
tumpuan kepada enam acara yang membabitkan adat istiadat pertabalan.
Jawatankuasa yang mengendalikannya turut berpandukan kepada adat
istiadat yang berlangsung 30 tahun lepas iaitu semasa pertabalan
Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 1985.
"Perkara mustahak yang ditumpukan ialah Istiadat Meletak Kerja pada 3
Mei...paluan nobat akan dibunyikan bersama-sama dengan 17 das (tembakan)
meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda bermulanya
kerja-kerja untuk acara pertabalan," katanya dalam temu ramah baru-baru
ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat
Nayan dan Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim.
Istiadat 'Tabal Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama
iaitu pengisytiharan pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak disusuli
dengan pemasyhuran gelaran DYMM Raja Permaisuri Perak.
Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan
melaungkan 'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku
Zara sebanyak tiga kali.
Sedikit kelainan dalam istiadat perarakan membawa al-Quran semasa
'Tabal Adat' Sultan Nazrin, ialah al-Quran itu akan dibaca terlebih
dahulu, sebelum diarak dan diserahkan kepada baginda.
"Sebelum ini Tuanku ada menitahkan bahawa dalam sesuatu majlis
hendaklah diadakan bacaan al-Quran, jadi dalam majlis ini, al-Quran itu
akan dibaca.
"Sultan Nazrin akan memegang dan mengucupnya terlebih dahulu sebelum
meletakkan kitab suci itu di tempatnya selepas diarak," katanya.
Selesai perarakan itu, akan dituruti oleh Orang Kaya Bendahara Seri
Maharaja dengan membacakan pengisytiharan pertabalan, dan menyerahkan
Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Nazrin.
"Di Perak, kami tidak mempunyai mahkota dan kami menggunakan pedang ini
sebagai simbolik penyerahan kuasa raja kepada Tuanku dan Tuanku akan
mencabut pedang itu serta dicium sebelum Bendahara melaungkan 'Daulat
Tuanku'.
"Pada masa yang sama nobat akan dipalu disertai tembakan meriam sebanyak 21 das," katanya.
Sultan Nazrin juga akan memeriksa kawalan kehormatan pada sebelah pagi
di Dataran Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan diiringi paluan
nobat dan 21 das tembakan meriam.
Acara utama ketiga akan berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei, iaitu
istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai yang telah dinamakan,
untuk 'Adat Bersiram Tabal'.
Mohd Zahidi berkata, acara keempat, istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu
upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini
dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, akan berlangsung pada
sebelah malam.
"Yang kelima ialah istiadat menziarah makam. Ini adalah satu daripada
adat yang memerlukan sultan yang dilantik, selepas ditabal adat dan juga
ditabal pusaka, akan menziarahi makam Almarhum sultan-sultan
terdahulu," katanya.
Istiadat menziarah makam ini akan bermula pada 8 Mei yang menyaksikan
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat menziarahi Makam Tok Temong di
Kati, Kuala Kangsar.
"Oleh kerana pembangunan di negeri Perak, sebahagian daripada makam ini
boleh diziarahi dengan menggunakan pengangkutan darat. Oleh itu,
jawatankuasa mengekalkan sebahagian daripada istiadat ini untuk
menggunakan rakit dikenali sebagai 'Balai Gambang', yang menyaksikan
Tuanku menziarah lima makam di sepanjang Sungai Perak semasa pergerakan
Balai Gambang dari Pasir Salak ke Teluk Intan," katanya.
Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak
ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan
Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah
Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin
Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar
Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.
Akhir sekali pada 14 Mei, Sultan Nazrin akan melawat serta menjejak
kaki di 'Beting Beras Basah' yang terletak di muara Sungai Perak
sementara istiadat 'Menutup Kerja' akan berlangsung pada 17 Mei.
Wanita mengandung atau yang uzur (datang haid) dinasihatkan agar tidak
hadir pada istiadat Tabal Pusaka ini, yang bermula pada pukul 9 malam
dan berakhir pada tengah malam.
Kaum wanita juga tidak digalakkan menyertai rombongan ke Beting Beras Basah ini, menurut Ayop.
"Acara ini hanya dilakukan oleh kaum lelaki. Ini bukan bermaksud ada
diskriminasi terhadap golongan wanita, tetapi merupakan adat
turun-temurun," katanya.
Terdahulu, Mohd Zahidi berkata satu jawatankuasa induk pertabalan telah
diwujudkan susulan mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 yang bersidang
pada 20 Jun 2014 dan dipengerusikan Sultan Nazrin sendiri.
"Tuanku telah menitahkan saya sebagai pengerusi jawatankuasa induk dan
(Datuk Seri) Abdul Puhat sebagai pengerusi bersama manakala (Datuk) Ayop
menyandang jawatan setiausaha.
"Dalam mesyuarat jawatankuasa induk, kami telah mengadakan enam
mesyuarat untuk membincangkan komposisi jawatankuasa dan pelaksanaan
tugas secara terperinci.
"Jawatankuasa kecil turut mengadakan mesyuarat bagi menentukan
kehalusan dan ketelitian tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk
menyelaraskan acara sempena pertabalan Tuanku," kata Mohd Zahidi. -
Bernama