Demonstrasi jalanan di Betawi |
JAKARTA – Berbeza dengan penunjuk perasaan pembangkang Malaysia yang
menerima ganjaran RM150 setiap kali mencetuskan huru-hara di Kuala
Lumpur selain pelbagai insentif menarik lain, nasib perusuh jalanan di
ibu kota Indonesia jauh lebik teruk.
Tidak seperti gerakan reformasi 1998 menyebabkan Presiden Muhammad
Suharto ‘tumbang’ apabila peserta demonstrasi dapat upah lumayan oleh
pihak asing, kali ini perusuh cuma mampu terima habuan jauh lebih kecil
tidak setimpal kerja keras mereka.
Perkara itu didedahkan beberapa pemimpin badan tempatan dikenali
Masyarakat Anti Korupsi (Mars) yang sanggup bersusah payah melakukan
aksi ‘terbaik’ tunjuk perasaan di depan Balai Kota, ibu pejabat
pentadbiran daerah ibu kota Jakarta pada Isnin.
Sudahlah demonstrasi itu gagal mendapat sambutan apabila hanya
disertai sekumpulan kecil perusuh tegar, mereka cuma dibayar 50,000
rupiah (RM15) untuk menunjuk perasaan selama tiga jam bermula dari pukul
11 pagi dan berakhir aman begitu sahaja.
“Kami diminta demonstrasi bagi bantah kenyataan Gabenor Jakarta,
Basuki Tjahaja Purnama yang gelar masyarakat Betawi sebagai lembu ketika
berucap di Bogor, tetapi apa yang kami dapat hanya penat jerit berpeluh
di tengah panas,” kata pemimpin itu.
Mereka berucap dengan mikrofon secara lantang mendakwa kegagalan
rusuhan itu ekoran upah kecil untuk peserta yang amat tidak berbaloi,
malah tidak dapat bertemu Basuki untuk menyerahkan memorandum protes
selain hampir tertinggal solat zohor berjemaah.
Pemimpin Mars itu juga kecewa dengan Front Pembela Islam (FPI) yang
berjanji ikut serta sebagaimana kebiasaan Mars menyokong semua
demonstrasi anjuran FPI selama ini, tetapi tidak muncul kerana faktor
waktu zohor masuk kebetulan pukul 11.57 pagi.
“Kita hanya dapat 50,000 rupiah untuk teriak tidak dapat jumpa
Basuki, bahkan gagal solat zohor awal waktu, sudah kerugian dua kali
ganda,” kata seorang pemidato Mars ketika bersuara lantang dari bumbung
sebuah lori kecil dekat pintu masuk Balai Kota.
Pemimpin Mars itu tanpa berselindung menegaskan, dia pernah beberapa
kali masuk penjara termasuk pada hari raya Aidilfitri untuk membuat
rusuhan tetapi kecewa FPI tidak hadir ‘memeriahkan’ demonstrasi yang
berakhir menjelang pukul 2 petang. – Agensi