Pesuruhjaya PAS Selangor Selar Pemimpin DAP

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad
KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad menyelar pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu kerana mengutuk Himpunan HINDAR, anjuran PAS, yang membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kelmarin. 

Beliau mendakwa Ronnie seolah-olah mempunyai agenda tertentu dengan mempertikaikan perhimpunan tersebut kerana DAP tidak berbuat demikian sebelum ini. 

“Kalau dulu Barisan Nasional (BN) yg pertikaikan himpunan PAS tapi hari ini Ronnie Liew pulak. Ada apa-apa ke dengan BN Ronnie?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ronnie yang juga bekas Exco Selangor baru-baru ini bertindak mengejek Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menganggap Himpunan HINDAR tidak mendapat sambutan.

Beliau di laman sosial Facebook memuatkan status "padan muka Haji Hadi, padan muka UG (Kerajaan Perpaduan)" yang merujuk kepada Himpunan HINDAR di Padang Merbok di ibu negara baru-baru ini. 

Pemimpin DAP Selangor itu turut memuatkan status dan beberapa keping gambar sekitar Himpunan HINDAR pada 11 April, kira-kira jam 11.30 malam.

Ronnie Liu mendakwa Himpunan HINDAR yang tidak membawa sebarang makna itu telah digunakan untuk menghentam Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan pemimpin liberal PAS yang lain. -Kedahnews.com