Phahrolrazi Zawawi Berdepan Kemungkinan Dipecat Dari PAS

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi dijangka berhadapan tindakan pecat dari parti sekiranya beliau meneruskan hasrat membentuk parti baru di atas nama PasMa.

Phahrolrazi dalam kenyataannya semalam menjelaskan bahawa beliau menerima "desakan hebat" untuk menukar status badan bukan kerajaan (NGO) kepada sebuah parti politik, berkemungkinan pada Jun ini.

Phahrolrazi yang merupakan Presiden PasMa berkata, berdasarkan desakan kuat itu, pihaknya akan menentukan sama ada pertubuhan yang diketuainya itu akan membentuk parti politik atau tidak pada Konvensyen PasMa Nasional yang bakal berlangsung kira-kira dua bulan lagi.

"Kita menerima banyak desakan hebat untuk Pasma terlibat dalam politik.

"Keputusan sama ada Pasma akan menjadi parti politik atau tidak akan ditentukan pada Konvensyen Pasma Nasional bulan Jun nanti," katanya sejurus menghadiri menghadiri Konvensyen PasMa Kedah di Sungai Petani, semalam.

Selain itu, Phahrolrazi yang dikatakan antara punca penyebab kegagalan PAS mempertahan kuasa di Kedah turut menjelaskan bahawa PasMa akan mengkaji kemungkinan untuk menjadi sebahagian dari parti komponen Pakatan Rakyat.

Jelasnya lagi, kemungkinan PasMa berubah sebagai parti politik pembangkang itu adalah disebabkan kemelut dalaman yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat yang membabitkan PAS dengan dua rakan sekutunya, DAP dan PKR, yang semakin kritikal.

Phahrolrazi sebelum ini merupakan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah namun enggan bertanding mempertahan jawatan itu dalam mesyuarat pemilihan PAS Kawasan yang berlangsung pada 21 Mac lalu dan menyaksikan Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.

Kedahnews.com difahamkan bahawa Phahrolrazi yang juga Adun PAS Pengkalan Kundor memberi alasan untuk memberi fokus pada PasMa untuk tidak mempertahan jawatan tersebut.

Sekiranya Phahrolrazi membentuk sebuah parti politik baru di atas nama PasMa, maka turut dijangka beliau akan dipecat dari PAS. -Kedahnews.com