Bentley |
RIYADH — Terlalu
gembira dengan kekalahan militan Houthi di Yaman, seorang putera kaya
Arab Saudi menawarkan kereta mewah kepada semua juruterbang Arab Saudi
yang terlibat dalam serangan udara di sana.
Putera Al-Waleed bin Talal, salah seorang terkaya di Arab Saudi,
mengumumkan kepada tiga juta pengikut akaun laman sosial Twitter
miliknya mengenai ganjaran hadiah untuk juruterbang tentera udara negara
tersebut.
“Sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam operasi tersebut, saya
berasa bangga untuk menawarkan 100 buah kereta mewah Bentley kepada 100
pilot penggempur Saudi,” ujar putera itu menerusi mesej terbaharunya.
Tawaran Putera Al-Waleed itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi
dengan lebih daripada 28,000 orang memberi komen manakala 5,000 orang
lagi menanda ‘suka’ pada kenyataan kerabat diraja berkenaan.
Putera Al-Waleed bin Talal |
Sebahagian memuji putera itu kerana dianggap ‘murah hati’ dan
sejumlah lagi menyatakan, juruterbang tentera mereka berhak mendapatkan
kereta mewah, bahkan lebih lagi, setelah ‘berkorban’ menunaikan tugas
negara.
Sekadar rekod, buat masa ini harga model terbaharu sebuah kereta
buatan Britain itu ialah AS$234,000 (RM851,000) dan jika didarab 100
buah maka jumlah keseluruhannya cecah AS$23,400,000 (RM85,100,000).
Namun, bagi yang tinggal di luar Arab Saudi, khususnya di Yaman,
mereka menganggap tawaran disampaikan Putera Al-Waleed merupakan suatu
amat keterlaluan dan tidak kena waktu dengan senario politik semasa.
“Seratus Bentley untuk 100 juruterbang yang mengebom Yaman, sementara
tiada satu pun ‘hadiah’ ambulans untuk semua hospital yang mereka
hancurkan,” kata seorang warga Yaman, menerusi akaun Twitternya.
Warga Yaman lain, sempat memaparkan foto menunjukkan rumah mereka
rosak teruk akibat serangan udara Arab Saudi, menulis di Twitter: “Al
Waleed hebat mampu memberikan 100 Bentley untuk ‘pilot’ jet tempur
Saudi.
“Sebaliknya, apartmen saya hancur akibat ledakan. Saya yakin,
semangat saya lebih tinggi daripada 100 juruterbang itu yang kaya,
walhal jirannya rakyat Yaman masih lagi hidup miskin.” tulisnya lagi.
Pengguna media sosial lainnya juga menulis: “Apakah nyawa 100 atau
200 orang layak dipertukarkan untuk sebuah Bentley? Betapa murahnya
nyawa manusia,” kata seorang pengguna Twitter berasal dari Jordan.
Tahun lalu, putera yang terkenal dengan gaya hidup mewah dan gemar
memberi hadiah itu menawarkan 25 buah kereta mewah kepada sebuah pasukan
kelab bola sepak tempatan setelah memenangi Piala Arab Saudi.
Langkah kontroversi ‘pemurah’ putera berusia 60 tahun dengan kekayaan
AS$30 bilion itu mencetuskan debat di Arab Saudi mengenai persoalan
siapakah yang berhak mendapat hadiah lumayan. – Agensi