PKR Malas Layan Boikot Pemuda PAS Pulau Pinang, Layan Mat Sabu Dan Mujahid

PERMATANG PAUH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan pihaknya tidak mahu melayan sikap Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang nekad untuk terus memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, partinya tidak perlu melayan pendirian akar umbi sekutunya ekoran kepimpinan tertinggi PAS sudah berikrar untuk terlibat mempertahankan kerusi tersebut.

“Kita ‘deal’ dengan PAS sebagai organisasi, takkan nak deal dengan PAS cawangan? Takkan nak deal dengan Pak Leh bin Saad ketua cawangan…tak habis kerja lah. Itu cara kira deal dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Saifuddin mengulas mengenai tindakan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang memboikot kempen PRK Permatang Pauh selepas PKR tidak peduli pada desakan terhadap parti itu untuk memohon maaf kepada PAS kerana menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah mengarahkan supaya semua Pemuda PAS Pulau Pinang membekukan jentera dan aset mereka daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK Permatang Pauh.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, jaminan PAS Pusat termasuk arahan dari Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa supaya jenteranya menyokong dan membantu memenangkan Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK ini adalah memadai padanya

“Tindakan PAS Pusat melantik Mohamad Sabu dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa terlibat secara langsung dalam membantu PKR bukti kerjasama dalam pakatan.

“Jadi sebagai organisasi parti, kita ada proses dalam membuat urusan dengan parti sahabat. Itulah amalan kita,” katanya lagi.