PKR Umum Calon #PRKPermatangPauh Saat Akhir

PETALING JAYA – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan diumumkan sehari sebelum hari penamaan calon PRK berkenaan.

Sementara, PAS yang akan bertanding di PRK Rompin akan mengumumkan calon mereka di Muadzam Shah, Pahang, malam ini.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini, yang turut bersetuju menyerahkan kepada parti yang bertanding untuk menentukan calon mereka.

“PKR dan PAS telah membentangkan calon masing-masing pada Majlis Setiausaha dan dipersetujui secara sebulat suara dalam mesyuarat hari ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini hari ini.

Ditanya mengenai tindakan PKR mengumumkan calonnya di saat-saat akhir, Rafizi berkata ia bertujuan untuk memberi kejutan bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga parti lawan.

“Bagi PAS pula, calon mereka akan diumumkan malam ini di Muadzam Shah, Rompin,” kata Rafizi.

Dalam pada itu, mengulas laporan media bahawa Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan yang bertegas supaya PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongan PAS, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut hadir pada mesyuarat itu, berkata setiap keputusan dibuat di peringkat PAS Pusat adalah muktamad.

“Apa yang diputuskan dalam mesyuarat di kawasan itu hak masing-masing, tetapi dari segi perjalanan apa sahaja keputusan parti, keputusan PAS Pusat mengatasi keputusan yang lebih bawah daripada peringkat pusat.

“….dan PAS Pusat menyokong calon di Permatang Pauh iaitu PKR dan Rompin… PAS, kita ambil keputusan untuk bersama-sama untuk memenangkan calon yang terpilih,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh ialah pada 25 April, manakala pengundian 7 Mei.

Bagi PRK Rompin, penamaan calon ditetapkan 22 April, manakala pengundian 5 Mei. – BERNAMA