KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan
melakukan lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula Khamis (23 April)
bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 Persidangan Asia-Afrika dan
ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Baru Asia-Afrika di Bandung.
Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan dua hari itu
akan memberi peluang kepada Najib untuk bertukar-tukar pandangan
mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai
kepentingan bersama dengan para pemimpin dari negara-negara Asia dan
Afrika.
“Lawatan tersebut melambangkan sokongan dan komitmen berterusan
Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara membangun yang
lain, khususnya di Asia dan Afrika dengan satu tujuan iaitu untuk
menggalakkan keamanan dan kemakmuran dunia menerusi kerjasama
Selatan-Selatan,” menurut kenyataan itu.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri
Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Sambutan ulang tahun Persidangan Asia-Afrika dan Perkongsian
Strategik Baru Asia-Afrika akan menghimpunkan ketua-ketua negara
daripada 109 negara di Asia dan Afrika selain wakil-wakil dan pemerhati
daripada 25 organisasi antarabangsa.
Sambutan memperingati ulang tahun itu akan didahului oleh Mesyuarat
Menteri-Menteri Asia-Afrika pada 20 dan 21 April, diikuti dengan Sidang
Kemuncak Asia-Afrika bertema ‘Memperkukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan
untuk Menggalakkan Keamanan dan Kemakmuran Dunia’ pada 22 dan 23 April
di Jakarta.
Anifah dan Ahmad Shabery akan menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Afrika.
Tiga dokumen dijangka diumumkan pada akhir persidangan iaitu Mesej
Bandung 2015, Deklarasi untuk mengaktifkan semula Perkongsian Strategik
Baru Asia-Afrika dan Deklarasi Palestin.
Persidangan Asia-Afrika yang pertama dianjurkan bersama lima negara
iaitu India, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka di Bandung,
Indonesia pada 1955.
Persidangan ini melambangkan perkongsian aspirasi dan solidariti di
kalangan negara-negara Asia dan Afrika yang baharu mencapai kemerdekaan
dan bebas daripada penjajahan. – BERNAMA