KUALA LUMPUR – Masyarakat Siam diharap terus menyokong dan mendukung
usaha kerajaan memupuk serta meningkatkan persefahaman yang terjalin
antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata persefahaman
adalah asas dan rahsia kepada kejayaan memupuk perpaduan serta
mengekalkan keamanan dan kemakmuran di Malaysia.
“Hasilnya, banyak nikmat dan kemajuan yang dapat dikecapi,” kata
beliau dalam blog NajibRazak.com bersempena Hari Songkran yang akan
disambut esok.
Najib berkata inilah keistimewaan menjadi rakyat Malaysia.
“Kita telah membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh hidup bersatu
padu, aman dan bebas walaupun kita berbeza bangsa dan agama.
“Marilah kita pertahankan keunikan ini demi kelangsungan kemerdekaan dan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Najib yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Songkran kepada
masyarakat Siam di negara ini, berharap kedatangan tahun baharu itu akan
membuka lembaran baharu kepada masyarakat Siam di negara ini untuk
terus berusaha meningkatkan kualiti hidup keluarga masing-masing. –
BERNAMA